2 Pegawai PPIM Didakwa Di Mahkamah

0
76
views
ppim
ppim
Yusuf Azmi, Ali Salimin Dibawa Ke Mahkamah Untuk Didakwa

KAJANG, 24 Okt (Bernama) — Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusuf Azmi dan Ketua Operasi unit itu Ali Salimin dibawa ke Mahkamah Kajang pagi ini untuk didakwa atas pertuduhan menceroboh dan perbuatan khianat.

Yusuf dan Ali dibawa menaiki kenderaan polis dengan diiringi tiga kenderaan polis lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 9.35 pagi tadi.

Menurut Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM Datuk Hishamudin Hashim, kedua-dua individu itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang untuk pertuduhan kes di bawah Seksyen 427 dan 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan perbuatan khianat selepas menyerah diri kepada polis di sini pagi ini.

Apa yang berlaku tadi adalah pihak polis mengambil cap jari dan gambar mereka serta teruskan proses pendakwaan.”

“Kedua-duanya dituduh melakukan perbuatan khianat dan menceroboh. Kita akan tengok apa kandungan pertuduhan dan berharap mendapat jaminan yang baik dan dibebaskan hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di IPD Kajang.

Hishamudin berkata pihaknya juga akan membuat proses mediasi (rundingan) supaya dapat mengurangkan kadar jaminan.

Terdahulu, Yusuf dan Ali hadir ke IPD Kajang bagi membantu siasatan kes membabitkan kedai pajak kereta di sini pukul 8 pagi ini.

Pada 10 Julai lepas, kira-kira 30 pemilik kereta dengan beberapa aktivis PPIM didakwa memecahkan mangga kunci pagar di stor kenderaan syarikat itu dengan tujuan mengambil semula kenderaan masing-masing sehingga berlaku kekecohan.

PPIM juga dilaporkan mendakwa polis tidak mengambil tindakan terhadap aduan mangsa kereta pajak gadai di syarikat kenderaan itu.

Susulan itu, seorang pengurus eksekutif syarikat terbabit turut membuat laporan polis pada hari sama. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here