Afdlin Shauki Dianugerahkan Datuk, Aliff Syukri Datuk Seri

0
148
views

PEKAN: Pelakon dan pengacara popular, Afdlin Shauki menyifatkan gelaran Datuk yang diterimanya menyuntik semangatnya untuk lebih aktif dalam kerja amal.

Afdlin Shauki, 46, berkata anugerah itu juga diharap dapat membantunya menjayakan pelbagai program kesukarelawan melalui Yayasan Afdlin Shauki yang baharu ditubuhkan.

“Saya sudah bergiat aktif dalam bidang ini kira-kira 26 tahun. Pemilihan sebagai antara penerima anugerah ialah penghargaan daripada institusi kesultanan dan kerajaan negeri Pahang kepada anak seni.

“Namun begitu, penghargaan ini tidak boleh dilihat dari sudut anak seni semata-mata. Ada bidang lain yang juga diberi perhatian seperti kerja amal kerana saya juga ada membabitkan diri dalam kerja amal.

“Apapun saya melihat gelaran ini datang dengan tanggungjawab besar supaya kemuliaan gelaran ini dipelihara,” katanya ketika ditemui media di Istana Abu Bakar di sini, petang tadi.

Afdlin Shauki atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan antara 33 penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak memperkecilkan penganugerahan gelaran kepada anak seni, Afdlin Shauki berkata, perkara itu berdasarkan pendapat masing-masing.

“Saya rasa mereka yang memilih mempunyai sebab tertentu dalam pemilihan siapa yang layak menerima darjah atau pingat.

“Bagi saya, ini (gelaran) adalah pendorong untuk meningkatkan lebih banyak kerja amal,” katanya yang dimaklumkan tentang penganugerahan itu pada minggu lalu.

Sementara itu, Pengasas dan Pemilik D’Herbs Holding Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, berkata anugerah Darjah Sri Sultan Ahmad Shah (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri sangat bermakna dan pencapaian yang tidak disangka.

“Saya sangat terharu apabila dimaklumkan akan menerima anugerah ini. Sebagai anak Pahang dan dilahirkan di Kuala Lipis kira-kira 30 tahun lalu, ini adalah detik yang sangat bermakna dan sukar dilupakan,” katanya. BHarian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here