Amlon char koey teow sos kicap istimewa

2
292
views

JIKA anda penggemar char kuetiau dan sukar mencari masakan yang original dari Pulau Pinang di Lembah Klang, Amlon Char Koey Teow adalah tempat yang paling sesuai untuk anda menikmatinya.

Restoran yang terletak di Jalan Kebun Nenas, Kampung Batu Tujuh, Klang, Selangor itu menyajikan hidangan dengan cita rasa asli dari utara tanah air.

Keunikan resipi hasil gabungan pasangan suami isteri berasal dari utara tanah air, Amirruddin Asyraf Mohd. Basri dan Nurlailatul Amira Shokri, masing-masing berusia 26 tahun itu pasti membuatkan peminat masakan tersebut berpuas hati.

Menurut Amirruddin Asyraf, rahsia keenakan aroma masakan char kuetiau di restoran mereka adalah hasil resipi istimewa sos kicap buatan tangan isterinya sendiri.

Katanya, sos itu dicipta kira-kira tiga tahun lalu sebelum mereka memulakan perniagaan tersebut.

“Isteri saya tiada pengalaman dalam bidang masakan char kuetiau, namun kegigihan mencari resipi dan mengolahnya sendiri sehingga berjaya mencipta sos kicap istimewa itu.

“Idea untuk membuka perniagaan ini tercetus kira-kira tiga tahun lalu sewaktu kami baru menetap di Bandar Putera 2, Klang.

“Ketika itu, isteri saya mengidam untuk makan char kuetiau yang rasanya sama dengan yang terdapat di Pulau Pinang.

“Namun, agak sukar untuk mencari kedai yang menawarkan rasa original masakan itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di restorannya baru-baru ini.

Bekas pekerja sebuah restoran char kuetiau di Pulau Pinang itu berkata, dia dan isteri bertekad untuk memulakan perniagaan sendiri selepas berjaya mencipta resipi tersebut.

Katanya, hasil pengalaman selama lapan tahun bekerja di sebuah restoran di Sungai Dua, Pulau Pinang dan gabungan resipi sos kicap isteri itu akhirnya mereka membuka sebuah gerai di depan rumah mereka di Bandar Putera 2, Klang.

Buka restoran

“Namun, selepas dua tahun berniaga di kawasan itu dan sambutan yang diterima amat menggalakkan, kami akhirnya membuat keputusan untuk membuka sebuah restoran bagi memudahkan pelanggan menikmati masakan kami.

“Pada Mei lalu, kami mula beroperasi di sini (Jalan Kebun Nenas, Kampung Batu Tujuh, Klang) dan ramai juga pelanggan tetap yang biasa menikmati masakan ini ketika kami mula berniaga di Bandar Putera 2, Klang datang ke sini sejauh kira-kira lima kilometer semata-mata untuk menikmatinya,”jelas anak jati Taiping, Perak itu.

Bapa kepada seorang cahaya mata berusia 11 bulan itu memberitahu, restoran mereka menyediakan lapan menu berasaskan kuetiau antaranya kuetiau goreng kerang telur goyang, char kuetiau kerang, char kuetiau udang dan kerang, char kuetiau udang dan kerang special serta terbaharu char kuetiau gangnam style.

“Bagi peminat makanan laut, mereka boleh mencuba char kuetiau gangnam style iaitu gabungan makanan laut seperti udang, sotong, kerang dan telur goyang.

“Kami turut menyediakan satu menu selain char kuetiau iaitu nasi goreng ngombel sebagai pilihan altenatif kepada pelanggan.

“Masakan ini juga dibawa khusus dari utara tanah air iaitu gabungan masakan kampung dan moden,” katanya yang dibantu seramai tujuh pekerja lain.

Ujar Amirruddin Asyraf, harga makanan yang ditawarkan di restoran itu boleh didapati pada harga serendah RM5 sehingga RM16 manakala harga minuman pula bermula RM1.50 hingga RM3.- Kosmo

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here