Berdepan JDT, Perak Tak Gentar

0
107
views

PERAK tidak gentar untuk berdepan tentangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2017 di Ipoh pada 14 Oktober depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, walaupun menyedari JDT bukan calang-calang pasukan, namun rekod turut membuktikan bahawa The Bos Gaurus pernah meraih beberapa kemenangan sewaktu ber­depan skuad Harimau Selatan itu.

“Kalau ikut rekod pertemuan dengan JDT, dari sudut perlawanan 50-50. Perak pernah menang di Ipoh dan mereka pun agak sukar nak tewaskan kita di Johor.

“Jadi, jika para pemain boleh kekalkan momentum dan mood seperti perlawanan suku akhir kedua de­ngan Pahang, insyaAllah kita boleh melangkah ke akhir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres tahunan PAFA kali ke-59 di Ipoh kelmarin.

Beliau berkata, sokongan puluhan ribu penonton amat diharapkan bagi memastikan Perak layak buat kali pertama ke perlawanan akhir sejak 2007.

“Kita mahu para penyokong dari seluruh pelosok negeri turun beramai-ramai kerana ia penting untuk meniup semangat para pemain supaya beraksi dengan mo­ral kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PAFA, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata, komitmen dan daya juang seperti yang ditonjolkan dalam perlawanan suku akhir menentang Pahang, Ahad lalu perlu bagi merea­lisasikan hasrat untuk layak ke perlawanan akhir.

Katanya, walaupun mengakui kekuatan JDT, namun kelebihan beraksi di hadapan penonton sendiri pada aksi separuh akhir pertama nanti tidak harus dilepaskan skuad The Bos Gaurus untuk melakar kemenangan.

Mengulas mengenai Liga Super 2017, beliau berkata, sasaran berada di kedudukan keempat atau kelima dilihat realistik berdasarkan prestasi dan kedudukan semasa pasukan dalam liga.

“Sekarang Perak berkedudukan keenam dan jika kita berjaya meraih mata penuh dalam dua perlawanan terakhir liga, mungkin kita boleh raih tempat keempat atau kelima,” kata­nya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here