Cadangan Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik Disambut Baik REHDA

0
166
views
rumah-mampu-milik

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) — Cadangan kerajaan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik seperti digariskan dalam Bajet 2018 akan membantu mempercepatkan dan memperluaskan akses rumah mampu milik kepada rakyat.

Iskandar Rehda
Datuk Seri FD Iskandar

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar, berkata diharapkan inisiatif tersebut akan mendorong rakyat untuk mengambil langkah pertama bagi memiliki rumah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat di sini hari ini, berkata Perbadanan PR1MA Malaysia akan membina 210,000 rumah berharga RM250,000 ke bawah.

“Ini merupakan kali pertama PR1MA akan melancarkan rumah dengan harga tersebut berikutan sebelum ini, ia melancarkan rumah antara RM150,000 dan RM200,000.

“Oleh itu, kali ini, dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan, kami berharap PR1MA akan menumpukan kepada pembangunan di lokasi yang terdapat permintaan kukuh, terutamanya di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita pada taklimat pasca Bajet 2018 di sini hari ini.

Beliau turut memuji langkah kerajaan yang memberi pertimbangan sewajarnya kepada input dan cadangan yang dikemukakan mengenai pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindahmilik bagi projek terbengkalai.

“Kami telah menyatakan perkara ini dalam senarai permintaan kami dan langkah ini akan meringankan beban orang ramai berikutan tidak semua mampu membeli rumah, dengan duti setem yang lebih tinggi,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here