Saturday, September 22, 2018
Home Media Semasa Gangguan Personaliti Individu Berswafoto

Gangguan Personaliti Individu Berswafoto

0
216
views
gangguan personaliti
PERBUATAN sekumpulan remaja dari Indonesia ini yang merakam gambar swafoto ketika kereta api melalui landasan pada Disember lalu berakhir dengan seorang daripada mereka cedera.

KEMAJUAN teknologi pada telefon pintar memberi banyak kelebihan selain dapat membantu manusia melakukan pelbagai urusan lebih mudah termasuk merakam gambar.

Selain tidak perlu membawa kamera yang berat ke sana ke mari, penggunaan telefon pintar untuk merakam gambar juga menjadi lebih mudah.

Sifatnya yang lebih ringan dan mampu menghasilkan kualiti gambar yang setara dengan kamera digital menimbulkan obsesi sesetengah individu untuk bergambar.

Namun, di sebalik keghairahan ini ada individu yang sanggup menggadai nyawa semata-mata ingin menghasilkan sudut pandang yang lebih unik.

Tragedi yang menimpa seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Da-Yeh, Taiwan Khamis lalu merupakan antara contoh bagaimana keterujaan untuk merakam gambar swafoto telah membawa maut.

Menurut laporan Kosmo! pada Jumaat lalu yang memetik laporan Agensi Berita Pusat (CNA) Taiwan, pelajar berkenaan yang dikenali sebagai Lee, 30, maut selepas dikatakan terjatuh dari tingkat lima bangunan asrama lelaki universiti itu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 petang waktu tempatan itu juga dipercayai berlaku disebabkan mangsa cuba merakam swafoto ketika dia memakai kostum adiwira Spiderman di balkoni biliknya.

Keselamatan

Siasatan polis di lokasi kejadian juga menemui sebuah telefon pintar dipercayai milik mangsa di ruang balkoni tingkat lima asrama terbabit. Malah, rakan sekelasnya mengakui mangsa ada memberitahu dia ingin merakam gambar.

Kejadian itu sepatutnya dijadikan teladan kepada kita agar tidak mengabaikan aspek keselamatan dalam apa juga keadaan termasuklah merakam gambar kenangan.

Sebenarnya, keghairahan merakam gambar swafoto sama ada menggunakan telefon pintar mahupun kamera digital telah menjadi kebiasaan kebanyakan anggota masyarakat di seluruh dunia.

Malah, tindakan berswafoto turut dikaitkan dengan perasaan dan keinginan seseorang individu yang suka berkongsi gambar bersama ahli keluarga atau rakan-rakan.

Mengupas mengenai perkara ini, Pengarah Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, perbuatan berswafoto kebanyakannya dilakukan oleh golongan muda khususnya remaja kerana mereka sentiasa ingin melakukan perkara yang menyeronokkan.

“Golongan remaja mempunyai sifat storm and stress iaitu mempunyai keinginan yang tinggi untuk melakukan sesuatu perkara pada peringkat ketika mereka masih tercari-cari identiti diri.

“Oleh itu, mereka lebih kerap melakukan sesuatu secara terburu-buru tanpa memikirkan kesan dan akibatnya.

“Dalam konteks berswafoto, golongan remaja sanggup melakukan pelbagai aksi berbahaya semata-mata untuk mendapatkan sudut pandang unik yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain,” katanya.

Jelas Fauziah, seseorang individu itu juga akan menjadi lebih obses terhadap apa yang dilakukan apabila perbuatannya itu mendapat respon seperti yang diinginkannya daripada rakan-rakan.

Katanya, walaupun remaja yang maut dalam kejadian di Universiti Da-Yeh itu tidak mempunyai niat untuk membunuh diri, tetapi apa yang cuba dilakukannya itu adalah bagi mendapatkan perhatian dan penghargaan daripada mana-mana pihak khususnya rakan-rakan terhadap aksi yang jarang dilakukan oleh individu lain.

“Remaja yang mengalami masalah ini sebenarnya boleh diubati dengan cara melibatkan mereka dalam sesi kaunseling untuk membimbing mereka menggunakan bakat ke arah perkara yang lebih berfaedah,” katanya.

Ahli psikologi, Dr. Maria Chong Abdullah pula berpendapat, mangsa menjelaskan, dalam kejadian tersebut boleh dikategorikan narsisis iaitu individu yang mengalami simptom gangguan personaliti.

Obses

“Ia boleh dilihat apabila mangsa maut ketika cuba berswafoto dengan memakai kostum Spiderman.

“Pada pandangan saya, dia mungkin terlalu obses dengan watak Spiderman sehingga mendorong dirinya meniru perlakuan adiwira tersebut dengan harapan gambar yang dirakam akan mendapat pujian daripada rakan-rakannya,” katanya.

Dalam konteks kehidupan biasa pula jelasnya, sifat narsisis itu juga boleh wujud dalam kalangan individu yang gemar berkongsi gambar-gambar aktiviti hariannya menerusi akaun laman sosial peribadi dengan rakan-rakan dan masyarakat umum.

Golongan seperti itu katanya, cuba mencari perhatian orang lain dengan mendedahkan apa sahaja aktiviti yang dilakukan tanpa memikirkan implikasinya. – kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here