I’m Not A Terrorist gabungan pelakon Bollywood dan Malaysia

1
197
views

FILEM Bollywood sememangnya bukanlah sesuatu yang asing dalam industri hiburan tempatan. Bahkan, tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa setiap naskhah Bollywood yang ditayangkan di negara ini rata-ratanya mempunyai kelompok pengikut dan peminatnya tersendiri.

Atas penangan dunia Bollywood itu sendirilah kemudian membawa sebuah naskhah tempatan, I’m Not A Terrorist yang turut menampilkan barisan pelakon Bollywood, bakal menemui penonton minggu depan. Semestinya, karya terbitan White Merpati Entertainment itu merupakan antara yang ditunggu-tunggu peminat.

Barisan pelakon yang membintangi filem itu termasuklah Afiq Muiz, Chacha Maembong, Khir Mohd. Noor, Farida Jalal, Rahul Dev, Gulshan Grover, Betty Benafe dan penampilan khas, Datuk Jalaluddin Hassan.

Secara tidak langsung, kerjasama yang terjalin antara pelakon tempatan dan luar itu dilihat dapat memberi peluang kepada industri filem negara untuk pergi ke peringkat antarabangsa. Pada masa sama, filem yang menelan belanja hampir RM7 juta itu juga membuktikan satu perkembangan positif dalam industri kreatif menerusi usaha sama antara dua buah negara.

Bagi teraju utamanya, Afiq Muiz, dia sendiri berasa berbangga apabila diberi keyakinan dan kepercayaan untuk menggalas tugas besar untuk menjayakan filem arahan sutradara Arjin Uppal itu.

Gementar

“Ia merupakan satu penghormatan buat saya apabila diberi peluang yang cukup besar dalam kerjaya saya. Mana tidaknya, menerusi filem ini, saya dapat bergandingan bersama dengan pelakon Bollywood yang cukup popular seperti Farida Jalal.

“Ia merupakan sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan. Bagaimanapun, peluang yang diberikan ini semestinya saya tidak sia-siakan,” katanya yang membawakan watak sebagai Ummar.

Jelas pelakon berusia 25 tahun itu, pada masa sama, dia sendiri mengakui gementar untuk menerima maklum balas daripada penonton mengenai filem tersebut. Ini kerana, naskhah tersebut merupakan cubaan sulungnya beraksi di layar perak.

“Memang gementar menunggu hari tayangan. Apatah lagi dalam filem ini memerlukan saya untuk berbahasa Hindi. Jadi, bahasa tersebut menjadi antara cabaran terbesar saya sepanjang penggambaran berlangsung.

“Atas sebab itu jugalah, saya perlu menguasai bahasa Hindi terlebih dulu. Jadi, bagi memastikan saya dapat menyebut setiap perkataan dengan betul, saya ada mengikuti kelas bahasa Hindi selama dua minggu,” katanya yang memberitahu filem tersebut menjalani penggambaran selama hampir dua bulan di Kashmir, India.

Chacha sakit

Bagi Chacha Maembong pula, dia merasakan filem I’m Not A Terrorist itu merupakan antara catatan terbaik portfolionya sebagai pelakon. Mana tidaknya, bagi orang baharu sepertinya, ia merupakan detik yang ditunggu-tunggu untuk bergandingan dengan pelakon bertaraf antarabangsa.

Bagi Chacha, dia sendiri berasa seolah-olah bermimpi apabila dapat bekerja dengan barisan pelakon ternama seperti Farida Jalal dan Gulshan Grover yang sering dilihat di kaca televisyen sahaja selama ini.

“Memang dari zaman kanak-kanak lagi kita sudah selalu menonton filem-filem Bollywood. Bahkan, seperti Farida Jalal sendiri saya pun sudah melihat lakonannya sewaktu dalam filem Kuch Kuch Hota Hai lagi. Siapa yang tidak kenal mereka?

“Kali ini, saya pula diberi peluang menimba pengalaman berlakon dengan aktres yang mempunyai nama besar dalam dunia Bollywood. Lebih, seronok, sepanjang penggambaran, mereka banyak membantu kami untuk menjayakan karakter masing-masing. Satu pengalaman berharga,” kata pelakon berusia 21 tahun itu.

Menurut Chacha lagi, penggambaran di bumi Kashmir juga merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Ini kerana, ketika ‘berkampung’ di sana, katanya, dia diuji dengan keadaan kesihatan yang tidak baik.

“Sewaktu di sana, saya terpaksa menangguhkan penggambaran seketika selepas mata terkena jangkitan hingga menyebabkan ia sukar untuk dibuka.

“Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa dihantar ke hospital yang jaraknya beratus kilometer dari lokasi penggambaran,” katanya.

Bukan itu sahaja, kata Chacha, dia juga perlu berdepan dengan cabaran cuaca sejuk yang menyukarkan dirinya untuk kekal fokus.

“Cuaca sejuk, tetapi kami perlu memakai pakaian biasa. Jadi badan saya memang sentiasa menggigil. Maklumlah, kita tidak biasa dengan cuaca sedemikian. Apatah lagi untuk tempoh yang lama. Sampaikan apabila berdialog mulut saya ada kalanya menggeletar kerana kesejukan,” kongsinya yang membawakan watak sebagai Dayana dalam filem itu.

Farida senang

Bagi pelakon terkenal Farida Jalal, dia memberitahu cukup berasa senang apabila dapat bekerjasama dengan pelakon dari Malaysia. Bahkan, katanya, dia sendiri mengharapkan agar lebih banyak lagi kerjasama yang dijalankan antara dua negara.

“Saya rasa berbesar hati apabila dapat bersama-sama mereka. Mereka (pelakon Malaysia) pun bagus-bagus belaka. Saya harap mungkin selepas ini akan lebih banyak lagi kerjasama seperti ini.

“Ya, sudah pasti, jika ada rezeki saya mahu datang lagi ke sini,” kata Farida yang memegang watak sebagai Zabira iaitu ibu kepada Ummar lakonan Afiq Muiz.

Farida yang terkenal dengan watak ibu memberitahu, dia tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran lakonan dalam filem tersebut.

“Sebenarnya dari dahulu lagi saya seorang yang agak memilih. Bagaimanapun, apabila saya baca skrip filem ini, saya terus bersetuju. Saya juga senang bekerja dengan Arjin. Dia tahu apa yang dia inginkan dalam filem ini, jadi tidak sukar,” kata bintang berusia 68 tahun itu.

Ditanya mengenai penerimaan peminat tempatan mengenai popularitinya, kata Farida, dia tidak merasakan dia dikenali dengan namanya.

“Saya tidak rasa orang kenal saya sebagai Farida Jalal, orang di sini ingat saya sebagai ibu Shah Rukh Khan,” selorohnya.

Filem yang menemui penonton bermula 5 Oktober itu mengisahkan lelaki kelahiran Kashmir, Ummar yang sudah menetap di Malaysia selama 15 tahun. Dia dihantar oleh ibunya ketika berlaku pergolakan dan ancaman pengganas di Kashmir.

Bagaimanapun, selepas tamat pengajian, Ummar yang mengetahui ibunya jatuh sakit kemudian membuat keputusan untuk pulang ke Kashmir.

Dari situlah dia bersama teman wanitanya, Dayana kemudian diculik dan mahu dijadikan sebagai pelaksana misi pengganas yang membuat kekacauan di kawasan perkampungan ibunya. -Kosmo

 

Baca lagi : Brader, kita mesti terus hidup…’ 30 tahun kemudian

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here