Inkontinens Urinari – Penyakit Kencing Tidak Terkawal

0
382
views
inkontinens
Sistem perkumuhan lelaki dan wanita - Google

Memalukan. Tetapi, boleh dirawat. Inkontinens urinari bermakna anda tidak berupaya untuk mengawal pembuangan air kecil. Akibatnya, pakaian dalam dan pakaian anda basah dengan air kencing.

Walaupun masalah ini menjejaskan jutaan orang, ia bukanlah sebahagian daripada proses penuaan semulajadi ataupun sesuatu yang normal di kalangan wanita bersalin atau menopaus.

Hakikatnya, ia merupakan satu keadaan perubatan yang berpunca daripada banyak sebab – ada yang relatifnya mudah dan ada juga yang lebih kompleks. “Wanita lebih banyak mengalami ketidakupayaan pengawalan air kencing berbanding dengan lelaki. Tidak mengapa sekiranya sekali sekala berlaku insiden terkeluarnya air kencing.

“Tetapi sekiranya ia menganggu kehidupan seharian anda, jangan segan dan malu untuk mendapatkan rawatan. Kebanyakan permasalahan ini dapat dirawat. Jangan jadikan umur sebagai satu alasan,” kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor.

Menurutnya, ramai wanita yang mengalami kebocoran air kencing pada masa-masa tertentu. Situasi-situasi yang memungkinkan mereka tidak dapat mengawal pengaliran air kencing adalah:

  • Apabila melakukan aktiviti fizikal seperti senaman
  • Tegasan tertentu seperti batuk berlebihan atau meneran
  • Persekitaran seperti apabila mendengar deruan air mengalir dan juga mungkin bila saja tersentuh dengan air
  • Semasa mengandung
  • Ada juga yang tidak boleh menahan sebaik sahaja rasa nak kencing.

Kenali Sistem Perkumuhan Air Kencing

kencing tidak terkawanl
Sistem perkumuhan lelaki dan wanita – Google

Sistem perkumuhan wanita terdiri dan pada:
– Buah pinggang, menghasilkan air kencing
– Ureter/salur kencing, menyalurkan air kencing dan buah pinggang ke pundi kencing
– Pundi kencing, organ penyimpanan air kencing
– Uretra, salur yang mengeluarkan air kencing keluar dari pundi kencing

Pembuangan air kecil berlaku apabila isipadu air kencing dalam pundi kencing mencapai tahap di mana ia akan merangsang anda untuk kencing. Otot-otot di sekitar uretra akan melonggar manakala otot-otot pundi kencing pula akan berkontraksi (mengecut) menyebabkan air kencing dilepaskan keluar dan sebaliknya berlaku apabila pembuangan air kencing dihentikan.

Jenis Inkontinens Urinari

Ketegasan/ketegangan/stres. Berlaku pada wanita yang muda apabila tekanan di dalam pundi kencing melebihi tekanan di uretra menyebabkan kebocoran air kencing apabila anda bersin, batuk ataupun ketawa. Kebocoran mungkin juga berlaku semasa berjalan, berlari ataupun senaman aerobik. Puncanya, otot-otot pundi kencing ataupun otot-otot di uretra menjadi lemah.

Desakan. Berlaku mungkin kerana pundi kencing wanita terlampau aktif ataupun mungkin juga kerana saraf-saraf yang menghantar isyarat pada pundi kencing. Ini menyebabkan anda tidak sempat untuk ke bilik air apabila terasa hendak kencing.

Kombinasi. Apabila faktor ketidakupayaan bergabung di antara ketegasan dan desakan keterlaluan, jadi kebocoran berlaku sama ada pada satu fasa ataupun kedua-duanya sekali.

Limpahan/tumpahan. Berlaku apabila otot-otot pundi kencing tidak aktif ataupun berlakunya rintangan pada uretra, jadi pembuangan air kencing tidak lengkap dan tidak puas. Isipadu air kencing yang masih banyak menyebabkan kebocoran berlaku.

Faktor fungsian. Mungkin disebabkan oleh masalah kesihatan yang menghalang seseorang wanita dan bergegas ke bilik air dengan serta merta. Antara lain, permasalahan tersebut mungkin kerana penyakit sendi seperti artritis, strok, penyakit sistem saraf, masalah pergerakan dan koordinasi (contohnya, susah untuk berjalan).

Rungutan

Bergegas. Keinginan keterlaluan untuk kencing walaupun isipadu air kencing belum lagi mencukupi, kadang kala diikuti dengan rasa ketegangan pada pinggul.

Acap kali. Terpaksa ke bilik air berulang kali melebihi dari urutan normal anda, rasa seperti tidak puas kencing.

Nokturia. Terpaksa bangun malam beberapa kali untuk kencing.

Disuria. Mengalami proses pembuangan kencing yang menyakitkan.

Enuresis. Terkencing tanpa disedari semasa tidur.

Inkontinens Urinari – Punca Kencing Tidak Terkawal

  • Infeksi/jangkitan pundi kencing. Tanda-tanda penyakit seperti sakit untuk kencing, acap kali ke bilik air dan juga mungkin kehadiran darah di dalam air kencing. Infeksi pundi kencing dan juga uretra lazim berlaku pada wanita kerana struktur anatominya. Jangan bimbang, mereka ini mudah dirawati.
  • Keteguhan tisu-tisu penyokong organ pinggul. Ini mungkin kerana faktor usia, kelahiran anak yang ramai dan juga mungkin kerana proses kelahiran itu sendiri, lambat laun akan melemahkan tisu-tisu penyokong di pinggul. Ini menyebabkan gangguan terhadap anatomi yang tidak selari.
  • Keabnormalan sistem saluran kencing. Mungkin kerana kehadiran fistula iaitu pembukaan abnormal dari sistem kencing ke dalam faraj. Ini berlaku mungkin kerana pembedahan pelvik, proses kelahiran, rawatan radiasi, kanser di pinggul dan sistem perkumuhan air kencing.
  • Permasalahan neuromuskular. Berlaku apabila isyarat dari otak dan korda spinal tidak berhubungan dengan organ-organ pundi kencing dan uretra. Keadaan seperti kencing manis dan strok merupakan contoh yang biasa berlaku.
  • Penggunaan ubat-ubatan tertentu. Ubat diuretik yang digunakan seperti dalam perawatan sakit jantung ataupun darah tinggi menyebabkan isipadu air kencing bertambah dengan cepat.

 Inkontinens Urinari – Diagnosis Bagi Kencing Tidak Terkawal

Dr. Shah Reza berkata, seseorang wanita yang disyaki menghidapi keadaan ini akan diminta merekodkan berapa kali ke bilik air, jenis minuman yang diambil, apa yang telah dilakukan hingga menyebabkan kebocoran atau kekerapan kencing.

“Isipadu air kencing juga diamati. Sebelum itu, sejarah kesihatan akan diteliti untuk memastikan tidak ada faktor luaran yang menjadi penyebabnya. Lain-lain termasuklah pemeriksaan pinggul, meneliti kelainan anatomi atau kecederaan yang mungkin berlaku.”

Ujian-ujian Lain
  • Ujian ketegasan. Anda akan diminta batuk dan kebocoran air kencing direkodkan.
  • Ujian pewarna. Pewarna yang selamat dimasukkan ke dalam pundi kencing dan sekiranya berlaku tompokan pada tuala wanita yang dipakai, bermakna ada kebocoran.
  • Ujian urodinamik. Ujian terhadap isipadu dan tekanan di dalam pundi kencing semasa pengumpulan air kencing di dalamnya. Kadar pengosongan pundi kencing juga diteliti.
  • Sistoskopi. Alat visual khas untuk memerhatikan keadaan di dalam pundi kencing.

Inkontinens Urinari – Rawatan Bagi Kencing Tidak Terkawal

Seseorang wanita itu mungkin terpaksa melalui banyak ujian dan juga menerima lebih dari sejenis rawatan.

  1. Perawatan diri/perlakuan. Matlamat utama untuk mengenalpasti apa-apa yang menyebabkan kebocoran berlaku dan cuba untuk mengelakkannya. Mana-mana keadaan yang memberikan tekanan di dalam abdomen/dada, juga tisu-tisu penyokong organ-organ pinggul akan dikenalpasti. Pesakit di sarankan agar:
    • Kurangkan berat badan
    • Mengelak dari sembelit
    • Hindari daripada mengangkat barang barang berat
    • Kurangkan minuman berkafeina seperti kopi, teh dan setengah setengah minuman bersoda
    • Merawat penyakit paru-paru yang menyebabkan batuk keterlaluan
    • Berhenti merokok
  2. Latihan terhadap pundi kencing juga di laksanakan. Pembuangan air kencing pada waktu yang ditetapkan seperti sebelum aktiviti senaman. Cuba lawan rasa hendak ke bilik air sekiranya perasaan itu berlaku pada waktu yang bukan dijadualkan. Kenal pasti juga pengeluaran kencing yang normal dan tidak normal.
  3. Perawatan fizikal. Contoh yang biasa seperti latihan Kegel, boleh membantu menguatkan otot-otot yang terlibat dengan pengawalan sistem pengeluaran kencing. Banyak lagi latihan fizikal yang memfokuskan otot-otot yang membantu supaya kebocoran air kencing tidak berlaku. Doktor anda boleh merujuk anda kepada pakar-pakar fisioterapi untuk tujuan ini.
  4. Penggunaan peralatan/peranti tertentu. Kadangkala perkakasan/peranti digunakan untuk menguatkan otot-otot pinggul dan menghalang air kencing dari keluar. Antara yang biasa diguna pakai:
    • Kon pemberat yang diletakkan di dalam faraj untuk beberapa ketika dalam sehari. Anda akan mengecutkan otot-otot di faraj dengan tujuan menghalang kon pemberat dari jatuh keluar. Ini sama seperti latihan bina badan cuma otot-otot yang ditujukan berbeza. Lama-kelamaan otot-otot ini akan bertambah kuat.
    • Alat pesari yang diletakkan di dalam faraj bertindak sebagai baji dan juga penyokong untuk tisu-tisu penyokong pinggul, ia juga berupaya mengurangkan kebocoran dengan menekan pada pangkal uretra.
  5. Ubat-ubatan. Biasanya ubat ini mengawal spasma/kekejangan otot-otot penyokong pinggul. Ada ubat yang menguatkan uretra dan ada juga ubat yang mengawal keaktifan terlampau pundi kencing. Kesan samping ubat-ubat yang digunakan adalah seperti mulut kering, sembelit, loya, kabur penglihatan dan juga mungkin menganggu tidur. Antibiotik diberikan sekiranya ia berpunca daripada infeksi pundi kencing.
  6. Pembedahan. Bergantung pada jenis kebocoran yang dialami. Banyak faktor yang akan dibincangkan sebelum keputusan pembedahan diambil, ini termasuklah umur, tahap kesihatan, tatacara serta gaya hidup harian, lain-lain masalah perubatan yang mencetuskan kebocoran dan riwayat perubatan serta pembedahan lampau di kawasan pinggul.

Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia

Sumber : e-kesihatan.blogspot.my

Baca Juga : Presbiakusis, Masalah Kurang Dengar Warga Emas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here