Kalaulah kedai vape aku tak kena sita, la ni aku tengah makan beef steak, Yeh Sekupang Hantu Kak Limah

0
419
views

ULASAN FILEM | “Saya ni Kak Limah, kalaulah kedai mesin kuda saya tak kena sita dulu, dah lama dah saya majukan kampung kita ni…” demikian dialog Yeh Sekupang (lakonan Rab Khalid) selepas dendangan lagu Senandung Kampung Pisang membuka tirai cerita Hantu Kak Limah (HKL).

Per Pe:

Saya menyangka sembang kari Yeh Sekupang ini membawa petanda awal bahawa HKL akan banyak membawa maksud tersirat di sebalik maksud tersurat bagi penonton yang suka mentafsir. Namun demikian, seperti siri Kampung Pisang sebelum ini, penonton boleh sahaja melayan jenaka tanpa memberatkan kotak fikir.

Sangkaan saya tidak meleset. Namun demikian, siri Kampung Pisang kali ini lebih memberatkan adegan-adegan yang membuat penonton ketawa sampai senak perut. Kecuali, kalian daripada jenis tidak mudah terhibur. Bagaimanapun, dialog-dialog sinikal tetap ada.

Misalnya, tentu kebanyakan penonton boleh faham maksud di sebalik dialog Abang Li (Sabri Yunus) yang mengajak orang bunian mendaftar sebagai pengundi.

Watak Abang Li sebagai ketua kampung ini secara jelas menyindir orang tua yang tidak boleh menerima pendapat orang muda. Dia juga tidak dapat menerima hakikat bahawa dia telah disingkirkan bukan sahaja oleh orang kampung malahan oleh ahli-ahli partinya.

Kiasan politik lebih jelas melalui dialog paling win di bawah ini.

“Mano-a-mano.” Hussin.

“Eh, kata PAS?” Wani.

Adegan lain yang sinikal ialah apabila kereta Nayan (Ropie) rosak setelah dia berhenti untuk mengambil Khuda (TJ Isa) dan Solihin (Zul Ariffin) di tepi jalan yang dikejar oleh hantu Kak Limah (Delimawati).

Setelah keretanya gagal dihidupkan Nayan menyalahkan pomen Melayu. Di situ secara halus perangai tidak percaya kepada bangsa sendiri ditegur.

Dalam satu adegan lain, Mamat Khalid mengkritik orang Melayu yang suka memperbesar keaiban orang lain tetapi cuba menyorokkan kelemahan diri sendiri.

Solihin menafikan bahawa dia telah di-Ong Bak oleh hantu Kak Limah. Nayan pula menyorokkan jarinya yang cedera akibat kesilapan sendiri semasa bercerita tentang serangan hantu Kak Limah.

Ada hantu lain

Begitu juga sindiran yang ditunjukkan melalui adegan Wani yang menutup mulut untuk melindungi gigi rongaknya. Wani pada waktu itu sedang tertawa apabila Yeh Sekupang menegur Hussin yang tidak bergigi.

Seperti siri Kampung Pisang sebelum ini, terdapat dialog yang boleh ditafsir makna tersiratnya. Antaranya seperti dua dialog di bawah ini.

“Jangan takut dengan hantu-hantu ini, kalau kita takut, hantu ini akan lebih berani lagi.” Abang Li

“Pantang Melayu diperkotak-katikkan oleh kamu, hei hantu.” Hussin

Mungkin hantu yang dimaksudkan dalam dialog tersebut bukan sekadar hantu Kak Limah. Ada “hantu” lain yang perlu diberikan perhatian oleh orang Melayu.

Iqbal Dinzly, punggung timpuih, Fan Club, dan pengarah filem berlagak pula ialah lanjutan sindiran Mamat Khalid terhadap dunia hiburan dan perfileman tanah air. Sindiran terhadap dunia hiburan dan perfileman lebih padu dalam siri Kampung Pisang sebelum ini.

Selain ciri sinikal, Mamat Khalid juga bijak mengimbau kenangan masa lalu penonton. Bagaimanapun, hal ini bergantung pada pengetahuan sedia ada penonton.

Lagu daripada iklan air minuman kotak berjenama Joy misalnya amat dekat kepada penonton yang membesar pada tahun-tahun 1980-an.

“Joy oren, joy epal, mangga dan jambu batu.
“Joy untuk satu, Joy untuk dua, Joy untuk semua.”

Lagu Srikandi Cintaku yang suatu ketika dahulu dipopularkan oleh kumpulan Bloodsheed (versi rock) dan M Nasir (versi keroncong) turut menggamit memori penonton.

Datuk Awie dan Mus May pula telah menyampaikannya dengan gaya mereka yang tersendiri.

Paling menarik bagi saya apabila HKL menghidangkan lagu popular tahun 1970-an Hatiku Luka Lagi dendangan Black Dog Boone. Lagu ini sebenarnya ialah saduran daripada lagu kumpulan The Manhattans berjudul Kiss and Say Goodbye.

Menariknya dalam HKL lagu tersebut disampaikan secara parodi persembahan The Manhattans yang boleh kita tonton melalui laman sesawang YouTube.

Kreativiti lawak Mamat Khalid bagi adegan ini bagi saya amat terserlah. Maksud lagu ini amat dekat dengan perwatakan Khuda yang baru kematian isterinya, Kak Limah.

Pada wajah Khuda tergambar kesedihan dan rakan-rakan menyanyikan lagu ini seakan untuk menghiburkannya.

Penonton boleh saja berasa sedih dalam adegan ini. Namun demikian, kebanyakan penonton lebih berasa kelucuannya. Bagi yang mengenal lagu ini pula, tentu saja terhantar ke kala lampau.

Parodi memang kegemaran Mamat Khalid. Seawal cerita dapat dihidu parodi Nang Nak dalam adegan berperahu menuju ke tambatan. Pertarungan antara Hantu Kak Limah dengan Solihin pula ialah parodi filem Ong Bak.

HKL juga memaparkan beberapa parodi daripada trilogi filem Bujang Lapok. Masih ingat adegan Cip (P Ramlee) menunggang basikal seperti menunggang kuda? Dalam HKL, Hussin (Awie) membawa sampan seperti menunggang motosikal.

Parodi Husin, Yeh Sekupang, dan Wani (Sharwani NS) diganggu semasa memasang pagar pula membawakan kemunculan istimewa iaitu Erra Fazira, Datuk Seri Vida dan Jue Aziz.

Parodi ini menarik dan membuat penonton tertawa besar. Dialog filem Sembilu pun boleh menyelit dalam adegan ini.

Bagaimanapun, beberapa parodi yang lain bagi saya merupakan lawak kitar semula yang seolah-olah menunjukkan Mamat Khalid ketandusan idea.

Sekian banyak filem atau drama telah mengulang lawak makan-makanan yang sebenarnya disediakan oleh hantu. Begitu juga adegan menonggeng untuk memastikan kesahihan hantu.

Adegan hantu Jepun (dalam filem Pendekar Bujang Lapok) meniup trompet memanggil hantu-hantu lain bangun dari kubur dengan alunan muzik Hawaii telah diambil bulat-bulat oleh Mamat Khalid.

Walaupun dalam kalangan penonton, lawak sedemikian masih laku, kreativiti Mamat Khalid dalam memaparkan lawak tersebut boleh dipertikaikan. Mamat Khalid sepatutnya membawakan adegan lawak yang lebih asli dan segar.

Per Du:

Imej janaan komputer (CGI) dalam HKL masih tidak menunjukkan peningkatan berbanding dengan filem-filem Mamat Khalid sebelum ini. Tetapi, HKL berjaya membuahkan kelucuan kerana watak-watak komikal dalam siri Kampung Pisang menjadi.

Mamat Khalid telah membina watak Hussin, Yeh Sekupang, Wani, dan Khuda dengan baik. Awie, Rab Khalid, Sharwani NS, dan TJ Isa pula telah memerankan watak masing-masing dengan berkesan.

Mereka dibantu oleh satu lagi watak komikal yang cukup berjaya, iaitu Nayan yang dibawakan oleh Ropie. Malahan dalam HKL boleh dikatakan bahawa watak Nayan merupakan watak paling menyerlah, lucu dan menghiburkan. Lakonan Ropie membuatkan penonton tertawa tidak kering gusi.

HKL turut menampilkan Zul Ariffin melalui watak Solihin Mabrur sebagai bomoh yang berlagak berani tetapi tindakannya serba tidak menjadi.

Walaupun Zul Ariffin berlakon dengan baik tetapi mimik muka dan pergerakannya tidak begitu komikal berbanding dengan watak-watak yang disebut sebelum ini.

Kemenjadian watak-watak komikal ini sedikit sebanyak membuatkan penonton terlupa akan watak-watak lain siri Kampung Pisang yang tidak lagi muncul dalam HKL.

Tiga daripada mereka telah kembali ke rahmatullah, iaitu Pak Abu (Zami Ismail), Pak Jabit (Man Kadir), dan Wan Kaswi (Azwan Annuar).

Abi Hurairah (Johan) dan Usop Wilcha (Usop) juga tidak muncul dalam HKL. Mungkin kerana ketiadaan watak-watak ini, adegan di Warung Pak Jabit yang selalu menjadi pusat cerita ditiadakan dalam HKL.

Zaitun (Uqasha Senrose) pula menjadi kekasih bunian Hussin yang terkini. Sebelum ini, Hussin bercinta dengan makhluk ghaib juga, iaitu Cik Nin (dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan Mon (dalam Hussin, Mon & Jin Pakai Toncit).

Pada hemat saya, watak hantu Kak Limah patut dihentikan setakat ini sahaja. Walau bagaimanapun, mungkin ada sisi lain Kampung Pisang yang masih boleh menjadi cerita. Watak-watak komikal yang disebutkan tadi mungkin boleh dikembangkan menjadi filem yang tersendiri. Latarnya mungkin masih Kampung Pisang.

Cuma apabila anda menonton penghujung filem ini, jangan cepat sangat bangkit dari bangku apabila credit title dipaparkan. Ia bukan menandakan HKL akan ditamatkan sepenuhnya. Ada babak lain yang menyelit dan memberi kesan.

Muncul adegan di kilang arang dan menjadi ruang untuk Mamat Khalid mengkritik sikap orang Melayu.

‘Sembang kari’ Yeh Sekupang muncul lagi dalam adegan tersebut seakan menyampaikan salam terakhirnya buat semua pengikut setia siri Kampung Pisang.

Kata Yeh Sekupang: “Kalaulah kedai vape aku tak kena sita, la ni aku tengah makan beef steak.”

Al-Fatihah Rab Khalid. Foto : Utusan Online

Namun cakap Yeh Sekupang selepas itu lebih tajam menikam. Tonton HKL untuk memahami apa yang saya maksudkan.

 

Sumber : Malaysiakini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here