Kedah dilibas Bujang Senang, kekal tangga ketiga

0
98
views

PETRA JAYA: Sarawak melengkapkan misi memburu kemenangan apabila mengatasi Kedah 4-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching sebentar tadi.

Meskipun ketinggalan 0-2 pada babak pertama, skuad bimbingan ketua jurulatih Pengiran Bala terus memberi saingan untuk bangkit dalam perlawanan penuh dramatik itu.

Dua jaringan penyamaan Sarawak dalam tempoh lima minit menerusi Nur Shamie Iszuan Amin mini ke-53 dan Mateo Roskam (m-58) ternyata mengubah corak permainan Kedah.

Pelawat terus tersentak dengan jaringan ketiga Sarawak menerusi Mateo Roskam yang mudah menyambar peluang selepas percubaan Alif Hassan terkena pemain pertahanan Kedah.

Ketika pengendali Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof merangka strategi memburu gol penyamaan, skuad Helang Merah semakin tertekan apabila terpaksa beraksi dengan sepuluh orang pemain selepas Baddrol Bakhtiar dilayang kad merah kerana mengasari Nur Shamie.

Sarawak nyata bijak menggunakan peluang untuk menambah derita pelawat dengan jaringan keempat menerusi tandukan ketua pasukan, Mohd Hairol Mokhtar untuk kekal selesa dengan 4-2.

Terdahulu Kedah bermula garang seawal minit ke-7 apabila membuka tirai jaringan menerusi penyerang importnya, Ken Ilso Larsen.

Ketumpulan jentera serangan Sarawak pada babak pertama terus dihukum pelawat dengan jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-45 untuk mendahului 2-0.

Kemenangan penuh dramatik itu membuka peluang Sarawak untuk terus bersaing dalam Liga Super musim depan.

Keputusan kekal 4-2 sehingga tamat perlawanan sekali gus melonjakkan Sarawak di tangga ke-10 Liga Super.

Dengan kekalahan itu, Kedah kekal di tangga ketiga Liga Super dengan 34 mata.- Bharian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here