Kembara Buya Hamka ke AS yang mengasyikkan

1
236
views

ULASAN BUKU | Sepanjang 23 tahun usia saya, tidak pernah lagi menjejak kaki di bumi Amerika Syarikat. Namun dengan membaca dua jilid buku karangan Hamka ini, kagum saya dengan kebesaran bumi AS.

Bahkan bertambah kagum saya dengan keluasan ilmu pengarangnya. Terima kasih Komuniti Buku Jejak Tarbiah kerana menerbitkan semula karya Buya Hamka yang hampir dilupakan ini!

4 Bulan Di Amerika merupakan buku yang luar biasa. Selama ini saya hanya membaca karya Hamka yang bertemakan sejarah umat Islam secara amnya dan sejarah Nusantara secara khususnya.

Namun, 4 Bulan Di Amerika sungguh berlainan sekali. Buku yang ditulis pujangga Nusantara itu menceritakan kebesaran dunia Barat, kehebatan masyarakat bukan Islam dan kemegahan sebuah negara yang bernama AS. Seorang ulama menulis buku tentang kemegahan sebuah negara Barat memang sesuatu yang luar biasa!

Hamka sendiri menyatakan, jika di Mekah dan Madinah, kita boleh mendapat kekuatan jiwa. Dengan melawat AS pula, kita boleh mendapat kekuatan akal.

Fakta yang tidak boleh kita nafikan ialah, AS merupakan kuasa besar dunia dan mereka sememangnya layak menjadi kuasa besar.

Kemegahan teknologi ciptaan mereka, kekayaan sejarah mereka dan hebatnya pemikir mereka menjadi faktor AS dihormati kawan dan lawan.

Sesetengah daripada kita percaya lebih baik menjauhi nikmat dunia demi akhirat. Akhirnya dunia diambil oleh Barat. Ada pula yang beranggapan abaikan dunia dan ingatlah mati, akhirnya semangat mereka yang mati.

Segarnya masih terasa

Hamka sedar banyak yang kita boleh pelajari dari Amerika: sejarahnya, sikap masyarakatnya, kemegahan teknologinya dan juga pencapaian yang telah dikecapi negara Uncle Sam itu.

Ya, mereka bukan negara Islam! Namun itu tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk kita belajar daripada mereka seperti dulu Eropah tidak segan belajar daripada ilmuan Baghdad dan Andalusia.

Sayang sekali api umat Islam telah pun padam. Barat pula sedang marak menyalakan api ketamadunan mereka dengan marak. Kita hanya mendapatkan tempias cahayanya. Jika kita segan atau enggan, akhirnya kita ketinggalan!

Pengembaraan Hamka di tanah AS bermula dari 25 Ogos 1952 sehingga 25 Disember 1952. Pengembaraan ini dilakukan lima tahun sebelum Tanah Melayu menghirup udara kemerdekaan.

Sudah 60 tahun kita merdeka, namun kesegaran buku ini masih saya rasa. Walaupun ditulis puluhan tahun dahulu, namun keindahan bahasanya sungguh mengasyikkan jiwa manakala fakta yang ditulis menyuburkan fikiran.

Hamka menceritakan kembali kenangan indah sepanjang perjalanannya di tanah George Washington, menukilkan perbualan menarik beliau di sana dan pemerhatian beliau terhadap masyarakat AS.

Beliau menceritakan bagaimana terpegunnya beliau melihat alam Minangkabau dipamerkan di Muzium Kebangsaan Chicago, berkunjung ke Philadelphia yang bersejarah, melihat Statue of Liberty, melawat Salt Lake City kota orang Mormon dan menyaksikan pilihan raya presiden antara dua calon besar – Dwight Einsenhower dan Adlai Stevenson.

Dendam yang pahit

Lebih menarik lagi, Hamka juga turut menziarahi Hollywood! Beliau bersiar-siar melihat banglo mewah milik artis di situ. Beliau menceritakan betapa artis Hollywood membuat para penonton berkhayal di alam fantasi, sedangkan hidup bintang filem itu sendiri penuh dengan serba-serbi kegagalan.

Banyaklah nama pelakon Hollywood yang disebut Hamka seperti Clark Gable, Alan Ladd, Robert Taylor, Errol Flyn dan Ingrid Bergman.

Buya Hamka juga berpeluang bertemu Piper Laurie, aktres Hollywood terkenal era 1950-an.

Sayangnya saya tidak kenal kebanyakan artis Hollywood yang disebutkan walaupun nama mereka megah pada zaman dahulu. Mungkin kejahilan saya tidak mengenali mereka disebabkan usia yang masih mentah.

Saya lebih kenal dengan nama Robert Downey Jr, Russell Crowe, Tom Hanks, Benedict Cumberbatch, Scarlett Johansson dan Tom Cruise misalnya.

Pada masa akan datang, nama-nama ini pula yang akan dilupakan seiring dengan peredaran zaman.

Hati saya tersentuh apabila Hamka menceritakan, ketika bertemu dengan golongan tua Red Indian, pada wajah mereka tersimpan “dendam yang ditelan pahit”. Mereka dikalahkan bangsa pendatang, dan akhirnya merempat di tanah sendiri.

Walaupun mereka sudah hidup bebas, tanah tidak lagi dirampas, luka telah sembuh namun kesan luka masih ada.

Hamka turut menceritakan dalam satu bab khas perihal amalan segregation yang berlaku di negeri selatan apabila beliau menziarahi Texas.

Warga kulit hitam dipandang lekeh dan diasingkan hanya kerana kulit mereka. Di dalam bas mereka duduk paling belakang, berada di sudut paling hujung ketika menikmati hidangan dalam kafe. Kemudahan awam untuk mereka dipisahkan daripada kulit putih.

Mengapa boleh terjadi demikian? Segregation tidak boleh dipisahkan daripada sejarah perhambaan di sana. Perhambaan telah dihapuskan di AS hasil buah fikiran tinggi Abraham Lincoln.

Walaupun sudah tewas dalam Perang Saudara, negeri di wilayah selatan masih tidak mahu menerima hakikat hamba mereka sudah merdeka. Mereka berasakan diri mereka masih “tuan” manakala orang lain tidak setaraf.

Dibunuh kerana pemikirannya

Maka lahirlah konsep segregation iaitu pengasingan dalam masyarakat. Kulit hitam tidak boleh bercampur dengan kulit putih. Golongan kulit hitam dianggap manusia rendah darjatnya, justeru tidak layak jangan bergaul dengan kulit putih.

Bukan setakat diasingkan, jika bernasib malang mereka dibunuh pula oleh pengikut Ku Klux Klan (KKK) yang taksub dengan ketuanan bangsa. Mereka berkulit putih tetapi tanpa disedari hitam hatinya.

Ketika membaca tentang segregation dalam buku ini, saya terus terbayang wajah Dr Martin Luther King Jr. Pidato beliau “I Have A Dream” pada 1963 sehingga kini dikenang sejarah dunia.

Beliau impikan suatu hari nanti, anak bekas hamba boleh duduk bersama dengan anak bekas pemilik hamba di “meja persaudaraan”. Beliau turut impikan suatu hari nanti, anak-anaknya akan hidup di sebuah negara yang tidak memandang warna kulit, tetapi memandang kepada kualiti peribadi.

Disebabkan ketinggian buah fikiran beliau, Luther King akhirnya mati ditembak seperti nasib dialami Lincoln.

Hari ini, segregation sudah tiada, masyarakat AS semakin matang dan sudah ada wakil golongan kulit hitam menjadi presiden!

Banyak lagi yang saya pelajari daripada buku 2 jilid ini, seperti kisah Hamka bertemu dengan Father Divine yang mengaku dirinya Tuhan, kesan-kesan perjalanan, kecanggihan teknologi, gaya hidup yang boleh kita contohi dan pelbagai kisah lain.

Buku ini – kandungannya, pengajarannya – sungguh luar biasa sehingga mengubah pandangan sarwa saya.

Ayuh saudara, dapatkan buku 4 Bulan Di Amerika ini buat mengisi jiwa! Buku terbitan Jejak Tarbiah ini boleh didapati melalui FB: Jejak Tarbiah atau Instagram: @jejaktarbiah – Malaysiakini.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here