Kenali Gadis Cilik Gitanjali Rao, Saintis Muda Amerika Syarikat (AS)

0
184
views
Bergelar saintis pada usia 11 tahun

BERGELAR saintis pada usia muda bukan satu perkara yang mustahil. Gitanjali Rao, 11, telah membuktikannya apabila kanak-kanak itu dinobatkan sebagai Saintis Muda Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Kejayaan gadis kelahiran India-Amerika itu telah mengingatkan orang dewasa bahawa ada banyak perkara baik yang boleh difikirkan berbanding hanya mengejar kehidupan. Boleh dikatakan saintis terbaik adalah dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka lebih optimis dan sentiasa memiliki sifat ingin tahu berbanding orang dewasa yang sering terganggu dengan perselisihan kecil.

gitanjali rao
KANAK-KANAK ini bercita-cita untuk menjadi ahli genetik atau ahli epidemiologi.

Kejayaan Rao, gadis gred tujuh dari Sekolah Akademi Stem, Colorado di AS itu diberikan oleh Discovery Education 3M (Minnesota Mining and Manufacturing Company). Saban tahun, 3M mengadakan Cabaran Saintis Muda di seluruh pelosok AS dengan meminta kanak-kanak menghantar video pendek yang menerangkan ciptaan saintifik mereka bagi menyelesaikan masalah manusia.

Rao yang berasal dari Lone Tree, Colorado, AS dinobatkan sebagai juara apabila mencipta peranti murah yang dapat menguji air bagi mengesan pencemaran plumbum dan toksin dengan cepat. Cabaran Saintis Muda 3M telah membuka banyak peluang kepada kanak-kanak mengembangkan kebolehan mereka.

gitanjali rao
TETHYS dapat mengesan sama ada air yang digunakan bebas plumbum dan toksin.

Naib Presiden Kanan Pembangunan Perniagaan dan Jualan 3M, Paul Keel berkata, pihaknya komited untuk melahirkan lebih ramai golongan muda yang arif tentang bidang sains supaya mereka dapat menjadi pemimpin berilmu.

“Melalui ilmu sains, kita dapat meletakkan dunia ke arah lebih baik kerana dengan mempelajari sains, ia membawa kepada perasaan ingin tahu yang tinggi,” ujarnya. Pada tahun 2012, Deepika Kurup, 19, telah memenangi cabaran itu menerusi sistem pembersihan airnya.

Tiga tahun selepas itu, namanya tersenarai dalam anugerah Forbes untuk kategori bawah 30 tahun sebagai orang berpengaruh. Kini, dia sedang menuntut di Universiti Harvard. Sepuluh finalis dipilih pada tahun ini dan hanya dua penyertaan berjaya memasuki pusingan akhir.

Ciptaan pertama ialah alat mengesan air bersih yang dicipta Rao manakala yang kedua berkaitan bahan yang diperbuat daripada sekam delima dan kulit oren bagi membersihkan tumpahan minyak, ciptaan Anika Bhagavatula, 13.

Sementara, finalis lain pula menjalankan kajian bagi mengenal pasti molekul yang berpotensi merawat penyakit Alzheimer. Turut dicipta ialah robot yang membantu mengurangkan pembaziran air semasa penyelenggaraan rumput.

Semasa pembentangan akhir, finalis perlu menerangkan hasil ciptaan mereka di hadapan panel
saintis 3M, pegawai sekolah dan pentadbir daripada pelbagai bidang dari seluruh negara.

Salah seorang juri, Brian Barnhart dari Illionis memberitahu ABC News, ciptaan Rao benar-benar menarik minat juri. “Ia bukan satu perkara yang mustahil. Kami sendiri kagum dengan hasil ciptaan gadis ini,” ujarnya.

Tambah Barnhart, sembilan lagi finalis lain turut menyumbangkan idea yang luar biasa.Rao mendapat ilham untuk membina alat ganti itu selepas beribu-ribu sistem air AS dilaporkan
tercemar oleh plumbum. Menerusi data yang diperoleh pada tahun 2016, sebanyak 3,500 sistem air terkontaminasi.

Kejadian itu turut menyaksikan krisis air Flint di Michigan sejak tahun 2015 yang memaksa penduduk berjimat cermat sehingga melibatkan pemotongan kos terhadap air bersih yang menjadi sumber bekalan air utama.

Krisis itu mendapat perhatian Agensi Pengelolaan Kecemasan Persekutuan (FEMA) iaitu sebuah organisasi yang umumnya berkaitan dengan bencana alam. Di AS terdapat dua kaedah yang boleh digunakan untuk menguji air.

Mereka boleh menggunakan jalur ujian air plumbum tetapi ia agak sukar digunakan, mahal dan tidak tepat atau terpaksa menghantarnya ke makmal ujian.

Selain itu, Rao turut memberitahu Business Insider bahawa dia mendapat ilham untuk membuat peranti itu selepas melihat ibu bapanya menguji bekalan air mereka sendiri. Ia merupakan perkara yang remeh kerana sampel itu perlu dihantar ke makmal untuk dianalisis dan memakan masa panjang serta menelan kos yang tinggi.

Dengan adanya peranti kecil dan mudah alih yang direka Rao, ia dapat menyelamatkan sumber air tercemar. Peranti yang dinamakan Tethys itu dapat mengesan dan mengetahui sama ada air pancuran atau minuman bebas plumbum serta toksin.

Ia menggunakan tiub nano yang sensitif terhadap kehadiran karbon. Tiub-tiub itu dipenuhi dengan atom bagi mengesan aliran elektron. Ia direka khas dan dipasangkan bersama katrij biru. Caranya, apabila tiub itu dicelup ke dalam air dan aliran elektron tidak berubah, ia bermaksud air tersebut selamat diminum.

Namun, jika tiub itu mengesan air yang tercemar, plumbum di dalam air akan bertindak balas terhadap atom lalu menyebabkan rintangan pada aliran elektron. Ia menunjukkan air itu tidak selamat diminum.

Keputusan itu dapat dilihat menerusi aplikasi di telefon bimbit. Ia turut menerangkan peratusan sama ada air yang diambil telah tercemar atau tidak. Tethys dibina dengan bantuan saintis 3M pada sepanjang musim panas.

Penyelidikan 3M, Dr. Kathleen Shafer yang pakar dalam bidang teknologi plastik dan ilmu pergigian merupakan mentor kepada Rao. Masa yang diambil untuk membangunkan peranti itu adalah tiga bulan.

gitanjali rao

Rao memberikan pendapatnya, jika seseorang itu mandi dengan menggunakan air tercemar, mereka boleh mendapat ruam dan ia mampu dikaji dengan mudah oleh pakar epidemiologi. “Namun, jika anda minum minuman tercemar, anak dalam kandungan anda mungkin boleh
mendapat kecacatan, ia sangat berbahaya,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut menyokong pendapat Rao iaitu minum bahan bertoksin membahayakan nyawa kanak-kanak dan orang dewasa. Menerusi kenyataan yang dikeluarkan WHO, Filipina dan India adalah antara negara yang paling sukar mendapatkan air bersih.

Dalam pada itu, Rao memberitahu pemberita Mantologi Muda, dia ingin menyertai Cabaran Saintis Muda 3M kerana pertandingan itu menggabungkan cintanya terhadap sains selain menyelesaikan masalah berkaitan kajian dan ciptaan terbaru.

Pada pertandingan itu, Rao menerima hadiah wang tunai berjumlah AS$25,000 (RM105,790). Menerusi temu bual dengan ABC News, Rao mahu menggunakan duit yang dimenangi itu untuk memperbaiki dan mempertingkatkan peranti tersebut supaya ia dapat dijual di pasaran. “Sebahagian wang itu akan didermakan kepada badan-badan kebajikan,” tuturnya yang menggemari tarian klasik India.

Tulis buku
Baby Brother Wonders
Buku Baby Brother Wonders yang ditulis Rao pada tahun 2015.

Rao turut memberitahu wartawan bahawa dia berharap untuk menjadi pakar genetik atau epidemiologi pada masa akan datang. Pada tahun 2015, dia pernah menghasilkan sebuah buku yang bertajuk, Baby Brother Wonders.

Ia menceritakan tentang adiknya, Anirudh yang masih kecil dan tidak tahu bercakap tetapi sentiasa mempunyai sifat ingin tahu. “Sekiranya saya dapat membaca fikirannya, saya yakin dia akan tertanya-tanya mengapa dunia di sekelilingnya begitu berbeza.

“Dalam dunianya, mainannya terbang seperti pesawat atau kelihatan seperti kupu-kupu di
taman. “Selain itu, orang asing sangat menakutkan tetapi labah-labah adalah sesuatu yang menarik untuk didekati,” ujarnya. – kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here