KWSP Rangka Misi 2018

0
126
views

TAHUN baru yang bakal menjelma tidak lama lagi menjanjikan berita baik buat 13.7 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negara ini.

Meneruskan usahanya untuk memenuhi keperluan pencarum, KWSP telah memperkenalkan empat pembaharuan dalam polisi dan skim yang akan dimulakan pada 1 Januari tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, perubahan demografi yang melanda Malaysia dan seluruh dunia dalam populasi umur menyebabkan majoriti pencarum KWSP menghadapi cabaran untuk persediaan selepas bersara.

“Ia akan menjadi tahun yang mencabar ditambah dengan ketibaan revolusi perindustrian.

“Jadi, keadaan ini menyebabkan kami memperkenalkan polisi dan skim baharu.

“Semua ini untuk membimbing pencarum-pencarum kami dalam menghadapi waktu sukar dan mampu mengharungi perubahan,” katanya sewaktu satu sesi bersama media.

Antara inisiatif utama ialah KWSP memberi pilihan kepada pencarum untuk melantik Amanah Raya Berhad sebagai penama atau pemegang amanah untuk tabungan mereka.

Pengenalan polisi ini membolehkan pembahagian simpanan milik pencarum kepada waris selepas mereka meninggal dunia lebih mudah dan adil.

Semua pencarum KWSP khususnya yang mempunyai anak berusia 18 tahun ke bawah layak menerima manfaat hasil pengenalan polisi baru ini.

Menurut Shahril, antara pilihan baharu yang disediakan ialah tambahan kepada ahli untuk melantik mana-mana individu sebagai penama.

Pembaharuan kedua yang akan bermula pada awal tahun hadapan melibatkan pengeluaran untuk pencarum yang berumur antara 55 sehingga 60 tahun.

Polisi sekarang hanya membenarkan pengeluaran sebanyak RM2,000 sahaja dalam tempoh 30 hari.

Bermula 1 Januari ini, skim ini akan ditambah baik dan lebih memudahkan pencarum.

Mereka boleh membuat pengeluaran mengikut jumlah yang dimahukan pada bila-bila masa. Misalnya, pencarum juga boleh mengeluarkan jumlah serendah RM100 sebulan, berbeza dengan polisi sekarang yang berjumlah RM250.

Tambah Shahril lagi, pencarum juga boleh merujuk Khidmat Nasihat Persaraan yang disediakan secara percuma di 18 buah cawangan seluruh negara.

Pengenalan baharu yang ketiga melibatkan tambahan masa untuk polisi pengeluaran fleksibel.

Semua ahli boleh memilih untuk mengeluarkan apa-apa jumlah, pada bila-bila masa sehingga berusia 100 tahun.

Pada masa sekarang, tempoh usia dihadkan sehingga 75 tahun sahaja.

Ukuran baharu ini berikutan sambungan pembayaran dividen kepada semua ahli berusia 75 sehingga 100 tahun.

Pembaharuan terakhir ialah pengenalan manfaat kematian kepada ahli KWSP berikutan jangka hayat hidup yang lebih panjang.

Dengan ini, manfaat kematian berjumlah RM2,5000 boleh dituntut jika ahli meninggal sebelum dia mencapai usia 55 tahun akan dipanjangkan kepada usia 60 tahun.

Ianya sejajar dengan usia persaraan nasional pada usia 60 tahun.

“Ahli kita minta lebih fleksibiliti dari segi pengeluaran. Jadi, kita perlu melihat aspek ini dan mengambil kira keperluan mereka.

“Dengan pembaharuan ini juga, KWSP mahu memberi lebih banyak peluang kepada ahlinya untuk menguruskan simpanan mereka dengan baik menjelang persaraan.

“Kita mahu menggalakkan mereka untuk merancang simpanan persaraan menerusi pembaharuan ini.

“Semua pembaharuan ini juga merupakan hasil perhubungan berterusan bersama ahli dalam mencari apa yang dimahukan oleh mereka dalam jangka masa panjang,” katanya.

Dalam hal berkaitan, KWSP juga akan memulakan amalan pengklasifikasian semula untuk membezakan antara akaun yang mempunyai simpanan dan akaun tanpa sebarang simpanan.

Data pekerja pula, akan mengklasifikasikan semua status pekerja seperti yang dituntut dalam Akta KWSP 1991 dan status bekerja sendiri.

Pangkalan data KWSP juga secara automatik akan membuat update sebarang perubahan status ahlinya.

Bagaimanapun, hal ini tidak akan memberi kesan terhadap jumlah kemasukan atau statistik pengeluaran.

Untuk amalan ini, Shahril berkata, mereka berhadapan dengan jumlah data yang besar kerana jumlah keahlian telah berkembang sjak 66 tahun lalu.

“Ini sangat penting dalam menyediakan ketelusan dan kejelasan status akaun dan memastikan statistik kami mematuhi akta KWSP terkini.

“Semua akaun tidak aktif akan terus dibiarkan untuk ahli berusia 75 tahun ke bawah bagi memastikan mereka ada peluang untuk menabung semula dalam akaun mereka bagi kesenangan selepas persaraan,” ujar Shahril.

Visi KWSP ialah untuk membantu ahlinya mendapat masa depan yang lebih terjamin dan untuk memantau simpanan mereka.

KWSP juga telah berkembang secara signifikan dan kini menjadi organisasi pengurusan tabungan profesional dengan fokus utama untuk persaraan ahlinya.

Untuk lebih informasi mengenai pembaharuan polisi dan skim KWSP, lawati laman web kwsp.gov.my atau hubungi pusat pengurusan KWSP di talian 03-8922 6000 – mstar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here