Latihan Semula Bantu Atasi Pengangguran

0
132
views
pengangguran
Kadar pengangguran dalam kalangan belia di negara ini sangat membimbangkan. - Gambar hiasan

SEJAK kebelakangan ini, isu pemberhentian kerja bukan sesuatu yang asing bagi masyarakat di negara ini.

Saban waktu, pasti ada syarikat-syarikat yang mengumumkan untuk memberhentikan pekerja mereka.

Malah, ada syarikat memilih untuk melaksanakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Fenomena ini berlaku susulan perubahan industri daripada intensif pekerja kepada intensif modal.

Menurut rekod, seramai 38,499 pekerja kehilangan pekerjaan pada tahun 2015 tetapi angka itu menurun pada tahun 2016 iaitu 37,699.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, terdapat seramai 15.1 juta orang pekerja di negara ini sehingga Oktober 2017.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, para pekerja yang diberhentikan atau ditawarkan VSS perlu diberi latihan semula.

Katanya, latihan yang diberikan itu perlu sesuai dengan kehendak pasaran kerja semasa, sekali gus memastikan guna tenaga kerja di negara ini tidak disia-siakan.

“Kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam proses transisi yang berlaku dalam kalangan mereka yang diberhentikan kerja.

“Antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan mewujudkan latihan dan kursus bersesuaian kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

pengangguran
PEKERJA dalam sektor pembuatan dijangka paling terjejas pada tahun ini Gambar hiasan

Nasihat

Zaid turut menasihatkan para pekerja yang berhasrat untuk mengambil VSS supaya berfikir sebaik mungkin.

Antara aspek yang perlu dipertimbangkan adalah faktor usia dan peluang mencari pekerjaan baharu pada masa hadapan.

“Umur antara 40 hingga 45 tahun atau lebih muda daripada itu adalah lebih sesuai untuk mengambil VSS.

“Ini kerana mereka masih ada masa untuk menukar sektor pekerjaan.

“Ia berbeza dengan individu yang berumur 50 hingga 55 tahun yang mengambil VSS. Peluang mereka untuk mencari pekerjaan baharu sangat sukar kecuali berniaga,” jelasnya.

Baru-baru ini, media melaporkan pihak Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan 50,000 pekerja akan kehilangan pekerjaan pada tahun ini.

Sektor yang dijangka terjejas adalah pembuatan, perkhidmatan, insurans, perbankan, peruncitan dan pembinaan.

Pengurangan pekerjaan itu berpunca daripada penurunan levi pekerja asing dan pelaksanaan gaji minimum.

Penggunaan mesin dan tempoh cuti pekerja hamil yang ditingkatkan kepada 90 hari turut menjadi faktor penyumbang.

Pengarah MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, 50,000 pekerja yang dijangka diberhentikan pada tahun ini adalah sangat membimbangkan.

Beliau memberitahu, ketika ini, kira-kira 600,000 rakyat tempatan sedang menganggur dan kebanyakannya terdiri daripada para belia.

“Kadar pengangguran negara kekal 3.4 peratus, namun ia semakin setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsuddin memaklumkan, para pekerja yang diberhentikan atau ditawarkan VSS pada tahun ini layak mendapat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Beliau memaklumkan, menerusi SIP, pekerja yang diberhentikan atau ditawarkan VSS layak menuntut RM600 selama tiga bulan berturut-turut.

Tambahnya, inisiatif itu tepat pada masanya, sekali gus mengurangkan beban dan tekanan kepada para pekerja. – Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here