Misteri pusara lama tanpa nama di tengah bandar Alor Setar

0
99
views

ALOR SETAR: Sebuah pusara lama yang wujud di tepian Sungai Kedah di tengah-tengah bandaraya Alor Setar, Kedah mengundang pelbagai persoalan sekaligus menjadi sebuah misteri yang masih belum terjawab sehingga kini.

Apa yang menjadi persoalan ialah ketiadaan papan tanda dan kawasan perkuburan tersebut seperti diabaikan walaupun sebelum ini ada kerja-kerja pemuliharaan cuba dilakukan pihak tertentu.

Penduduk yang tinggal berdekatan mendakwa perkuburan itu telah wujud sejak awal abad ke-19 lagi dan mempunyai nilai sejarah yang tinggi bagi negeri Kedah.

Ia dikatakan kubur seorang tokoh ulama terkenal di Kedah iaitu Allahyarham Tuan Guru Haji Salleh yang juga merupakan penasihat agama kepada Tuanku Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah.
Kawasan perkuburan itu juga mungkin dapat membuktikan kewujudan sebuah perkampungan yang diasaskan tokoh ulama tersebut dan sebuah surau kepunyaannya bertujuan untuk mengajar agama.

Bagaimanpun tiada kesan-kesan membuktikan kewujudan surau terbabit di sekitar perkampungan itu namun mengikut catatan ahli sejarahwan, tapak asal surau ulama terbabit adalah di bangunan mahkamah lama.

Perkuburan itu kini dilihat terbiar serta persekitaranya dipenuhi semak samun.

Selain itu, batu-batu nisan yang ada sebilanganya telah hilang dan tenggelam akibat mendapan serta hakisan.

Turut kelihatan tiga kubur bersebelahan pusara itu yang telah musnah kerana sebatang pokok besar yang tumbuh di tengah-tengahnya.

Penduduk yang ditemui memohon perhatian pihak berkuasa kerana kubur tersebut merupakan sumber sejarah bernilai tinggi untuk negeri dan Malaysia amnya.

Mereka turut menyatakan kebimbangan kerana terdapat unsur-unsur khurafat di sekitar perkuburan dek kerana tiada kawalan oleh pihak bertanggungjawab.

Selain itu, terdapat sebuah binaan konkrit yang dipercayai sebuah tugu peringatan pahlawan Jepun yang terbunuh ketika menentang British sekitar tahun 1941 dalam mempertahan jambatan di sungai berkenaan daripada diletupkan. – AstroAwani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here