Perturun Ilmu Seni Ukiran Tradisional Melayu

1
505
views
ilmu seni ukuran
ANTARA peralatan yang digunakan untuk kerja-kerja membuat ukiran kayu.

DI satu sudut sebuah wakaf kayu, Mohd. Hasrul Mohd. Nor, 33, tekun mendengar gurunya, Norhaiza Noordin memperturunkan ilmu seni ukiran kayu tradisional Melayu.

Sebagai tukang ukir kayu muda, Mohd. Hasrul mempunyai cita-cita yang sangat besar iaitu memelihara kelangsungan seni tradisional itu.

“Saya banyak mempelajari seni ukiran kayu berkaitan motif bunga-bungaan.

“Memang diakui, menghasilkan ukiran kayu bukan satu perkara yang mudah. Ia memerlukan ketekunan dan kesabaran yang sangat tinggi kerana sebarang kesilapan semasa mengukir akan mencacatkan keseluruhan hasil seni tersebut,” katanya ketika ditemui di bengkel ukiran kayu Tunjang Bakawali Sdn. Bhd. yang terletak di Kampung Raja, Besut, Terengganu baru-baru ini.

Selepas lapan tahun menuntut ilmu di bengkel ukiran kayu milik gurunya itu, dia kini boleh dikatakan sudah mahir dengan teknik ukiran kayu.

Malah, bagi ukiran mudah bermotif bunga dengan saiz kira-kira satu kaki persegi, Mohd. Hasrul mampu menyiapkannya dalam masa sehari.

Namun katanya, bagi ukiran dengan motif yang lebih kompleks, masa yang lebih lama diperlukan bagi memastikan setiap bentuk lekuk diukir sempurna.

Seorang lagi tukang ukir kayu muda, Husni Zulakhba Che Hussin, 39, guru mereka (Norhaiza) sangat mementingkan ketelitian dan kesempurnaan dalam setiap ukiran yang dihasilkan.

“Bagi ukiran kayu biasa, kebanyakan daripada pekerja di sini mampu untuk menghasilkannya dengan bantuan mesin kerana ia tidak begitu kompleks.

“Bagi ukiran lebih rumit dan menggunakan kayu berkualiti tinggi, kebiasaannya akan dilakukan oleh tukang ukiran kayu yang betul-betul mahir menggunakan alatan khas bagi memastikan kesempurnaannya,” katanya.

Selain Husni dan Mohd. Hasrul, terdapat dua lagi tukang ukir kayu muda anak didik Norhaiza sejak beberapa tahun lalu iaitu Wan Mohd. Azizi Wan Yahya, 23, dan Mohd. Norizwan Mohd. Radzali, 32.

Bengkel Tunjang Bakawali menghasilkan pelbagai jenis kraf dan ukiran berasas kayu sama ada untuk tujuan perhiasan mahupun cenderamata.

Diwujudkan hampir 30 tahun lalu, Norhaiza yang merupakan pemilik bengkel berkenaan antara yang masih aktif menghasilkan seni ukiran kayu berkualiti tinggi selain giat menurunkan ilmu dan kepakarannya kepada generasi muda.

Mengakui perkara itu, Norhaiza menjelaskan, dia telah bergiat dalam seni ukiran kayu sejak lebih 30 tahun lalu dan pernah berguru dengan beberapa orang tukang ukir mahir di sekitar Terengganu dan negeri berhampiran.

Generasi ketiga

Bercerita lanjut mengenainya, beliau berkata, antara guru yang pernah mencurahkan ilmu kepadanya ialah Wan Su Wan Othman, Wan Mustafa Wan Su, Latiff Long, Abdul Rahman Long, Tengku Ibrahim Tengku Wok dan Nik Rashiddin Nik Hussin.

“Wan Su, Wan Mustafa dan Abdul Rahman merupakan tukang ukir kayu generasi pertama yang banyak menghasilkan seni ukiran kayu berkualiti tinggi di Pantai Timur suatu masa dahulu.

“Mereka kemudiannya memperturunkan ilmu kepada generasi kedua tukang ukir kayu iaitu Tengku Ibrahim dan Nik Rashiddin, manakala saya merupakan generasi ketiga,” katanya.

Tambah beliau, selain dirinya, Wan Mustafa dan Latif yang masih hidup turut memperjuangkan seni ukiran kayu di bengkel masing-masing.

Jelas Norhaiza lagi, bagi meningkatkan pengetahuannya terhadap seni ukiran kayu tradisional Melayu, dia pernah ke beberapa lokasi seperti Pattani, Thailand dan Bali serta Pulau Jawa di Indonesia selain beberapa negeri di negara ini bagi mencari dan mengkaji seni ukiran yang terdapat di tempat berkenaan.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan sebagai perbandingan mengenai perbezaan yang terdapat pada seni ukiran kayu di tempat-tempat tersebut.

“Saya melakukan kajian tersebut selama kira-kira 10 tahun dengan dibimbing guru saya, Nik Rashiddin selain beberapa orang guru lain,” tambahnya.

Disebabkan minat yang tinggi terhadap seni ukiran kayu tradisional Melayu, dia sanggup membeli tiga buah rumah kayu lama yang berusia ratusan tahun daripada pemilik asalnya untuk ditempatkan di sebidang tanah yang terletak bersebelahan bengkelnya.

Dipandang sepi

Malah, dia membelanjakan sejumlah wang untuk mendapatkan hasil ukiran kayu lama untuk disimpan dan dipelihara selain dijadikan sebagai bahan kajian peribadinya untuk meningkatkan pengetahuan mengenai ukiran tersebut.

Namun katanya, walaupun mempunyai minat yang sangat tinggi terhadap seni ukiran kayu tradisional Melayu, namun terpalit perasaan kecewa dalam dirinya apabila seni berkenaan seolah-olah semakin dipandang sepi oleh kebanyakan pihak.

Kata beliau, ia mungkin disebabkan oleh hasil seni ukiran kayu tradisional Melayu mempunyai nilai yang tinggi di pasaran sehingga menyebabkan tidak ramai yang berminat untuk memilikinya.

Sebagai alternatif jelasnya, ramai yang membuat keputusan untuk mendapatkan ukiran kayu berkualiti rendah yang dihasilkan daripada tukang kayu amatur untuk dijadikan perhiasan sama ada pada dinding atau ruang bangunan.

“Sebenarnya, tukang ukir kayu memang ramai di negara ini tetapi hanya sedikit yang benar-benar memahami cara untuk menghasilkan ukiran dengan betul.

Bersyukur

“Ini kerana di dalam dunia Melayu, setiap ukiran, motif atau bunga yang dihasilkan mempunyai makna yang tersendiri dan falsafah tertentu.

“Justeru, ia tidak boleh dibuat dengan sebarangan. Sesebuah ukiran itu mungkin cantik dilihat, tetapi tidak mempunyai sebarang makna atau falsafah di sebaliknya jika tiada punca dan pengakhiran pada setiap ukiran yang dihasilkan,” katanya.

Menurut Norhaiza lagi, menjadi seorang tukang ukir kayu yang sejati bukan suatu perkara yang mudah kerana ia perlu lahir daripada jiwa individu itu sendiri.

Walaupun begitu katanya, dia bersyukur kerana empat anak muridnya itu telah menunjukkan minat yang sangat mendalam terhadap seni ukiran kayu tradisional Melayu.

Dia juga percaya seni ukiran kayu tradisional Melayu akan terus gah di persada dunia selagi orang Melayu sendiri mempelajari dan menghargainya.

Sumber : kosmo.com.my

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here