Presiden PBNS luah rasa kecewa

0
110
views

PIHAK pengurusan Negeri Sembilan perlu meletak jawatan selepas gagal membawa pasukan Liga Premier itu ke kancah Liga Super musim depan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar kecil).

Beliau berkata, pihak pengurusan pasukan tidak mencapai sasaran untuk layak ke Liga Super musim depan dan gagal menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

“Dari segi moral, pihak pe­ngurusan kena letak jawatan jika mereka tidak mencapai KPI. Saya bukan merujuk kepada sesiapa,” katanya mengulas prestasi Negeri Sembilan dalam saingan Liga Premier musim ini di Seremban semalam.

Berbaki satu perlawanan, pendahulu Liga Premier, Kuala Lumpur dan Terengganu layak beraksi dalam Liga Super musim depan selepas masing-masing terikat 47 mata, manakala Ne­geri Sembilan menduduki tangga ketiga dengan 41 mata.

“Tidak timbul sama ada saya puas hati atau tidak dengan prestasi pasukan pada musim ini. Saya telah meletakkan matlamat mesti melayakkan diri ke Liga Super tahun depan tetapi jika tidak tercapai matlamat (sasaran), tidak bolehlah,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad, yang juga Menteri Besar berkata, prestasi pasukan negeri itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan PBNS selepas pasukan itu menamatkan saingan liga dengan menentang Sabah, bulan depan.

“Biar mereka siapkan laporan dan dari situ kita tengok langkah-langkah seterusnya yang kita ambil,” katanya.

Ternyata kecewa dengan ke­gagalan pasukan negeri layak ke Liga Super, beliau menegaskan bahawa PBNS telah menunaikan tanggungjawab dan komitmennya terhadap pasukan termasuk membayar gaji pemain setiap bulan mengikut masa yang ditetapkan serta memberi bonus jika menang perlawanan.

Selepas mengharungi 21 perlawanan musim ini, Negeri Sembilan menang 11 perlawanan, seri lapan dan kalah dua kali.

Mengenai dakwaan terdapat unsur lain yang mungkin mempengaruhi prestasi pasukan, beliau berkata, sebelum mendapat laporan daripada pihak pengurusan beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi.

“Adalah tidak baik untuk saya katakan itu, pihak pengurusan dan jurulatih lebih tahu. Kita dengar dahulu laporan pihak pengurusan sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here