Pulau Pinang Turun Liga Perdana

0
89
views

PULAU PINANG terpaksa menelan kepahitan apabila bakal bermain dalam Liga Premier musim depan selepas tewas 0-1 kepada Perak pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Skuad Harimau Kumbang itu menduduki tangga tercorot liga apabila sekadar meraih 12 mata, sekali gus kempunan untuk mengejar pencabar terdekat seperti Kelantan (19 mata) dan Sarawak yang berjaya mengutip 20 mata sepanjang 21 perlawanan.

Dalam aksi itu, Nizab Ayub menjadi ‘duri dalam daging’ buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-24.

Ketika Pulau Pinang turun pangkat, Melaka United pula meraikan kejayaan hebat dengan menewaskan Selangor 2-1, sekali gus terus kekal bersaing pada Liga Super musim depan.

Dalam aksi di Stadium Hang Jebat, skuad tuan rumah bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi Jasmin Mecinovics ­­(m-6) sebelum Marko Simic menggandakan kedudukan pada minit ke-42.

Skuad pelawat meraih gol sagu hati menerusi Rufino Segovia pada minit ke-57 tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Tumpuan kini teralih kepada Kelantan dan Sarawak untuk menentukan pasukan yang bakal mengiringi Pulau Pinang ke saingan Liga Premier musim depan.

Kelantan bakal bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, manakala Sarawak menanti kunjungan T-Team di Stadium Negeri, Kuching pada aksi terakhir Liga Super, 28 Oktober depan. -Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here