Review Telefilem Che Pa – Karya Terbaru Sabri Yunus

2
349
views
Review Telefilem Che Pa

Anak mata ini tertangkap pada paparan skrin televisyen, melihat satu watak yang biasa dilihat. Seorang lelaki bersanggul rapi, beralaskan bibir merah menyantuni pergerakan yang penuh gemalai dan ianya adalah seorang aktor yang baru sahaja memenangi pelakon lelaki terbaik di Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) , saudara Namron atau Nam Ron.

Beliau pada mula-mula saya lihat lakonannya adalah menerusi telefilem Sesungguhnya lakonan Beto Kusyairy dan Sharifah Amani. Itulah kali pertama saya mengenali sosok tubuh pemegang watak Che Pa ini atau nama sebenar Shahili Abdan.

Review Telefilem Che Pa
Photo: Rojakdaily

Che pa merupakan satu lagi karya seorang figura hebat serba boleh yang begitu disegani ramai, Sabri Yunus. Memulakan aktiviti seni sebagai penggiat teater, Sabri Yunus juga merupakan seorang pelakon yang cukup dipandang tinggi, pelawak, pengacara dan juga seorang sutradara. Karya-karya beliau seperti Sanggul beracun, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Sebuah Piala Seekor Kambing, dan banyak lagi antara hasil tangan beliau mencetak nama sebagai pengeluar cerita berwajah kita. Beliau banyak mengangkat cerita bertemakan budaya warisan bangsa dan kali ini karya Che Pa mengetengahkan warisan dari utara Semenanjung Malaysia.

Tarian Hadrah menjadi subjek utama Sabri pada kali ini. Beliau terkenal kerana sentuhan karyanya sarat dengan mesej-mesej kerakyatan, adat dan kebudayaan.

Permulaan

Tarian Hadrah merupakan rutin tarian purba tempatan di mana barisan penari lelaki berpakaian perempuan. Di Malaysia, kesenian tarian Hadrah mula diperkenalkan sekitar tahun 1910 di Pulau Pinang dan kemudiannya menjadi amat popular pada tahun 1950-an dan 1960-an, terutamanya bagi penduduk di Utara Semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang. Bagi saya yang membesar di Utara, saya lebih mengenali Ghazal Party. Sebuah hiburan yang juga memperkenalkan penari lelaki berpakaian wanita. Tarian Hadrah ini merupakan pendedahan baru buat saya sebagai generasi hari ini.

Satu perkara yang saya amat senang dengan penceritaan karya Sabri Yunus, dari Sebuah Piala Seekor Kambing sehingga ke Che Pa ini, gaya persembahan dipertontonkan dengan kemas dan dekat di hati. Berlatangbelakang negeri Perlis, beliau berjaya membawa suasana kampung seolah-seolah kita sedang berada di situ.

Review Telefilem Che Pa
Photo: Rojakdaily

Menampilkan pelakon terkenal, Namron sebagai pengemudi utama bernama Che Pa, naskhah ini turut memperlihatkan kehadiran Ezany Nizariff sebagai Che Puteh, Amyza Aznan sebagai Cik Puan yang turut merupakan bekas isteri Che Pa, pendatang baru Putri Hanan Ahmad Shukri sebagai Bibah, anak kepada Che Pa, serta arwah Yusri Edoo atau Pak Yus Jambu sebagai Cik Man yang merupakan Ketua Kumpulan dan pemain gendang dalam kumpulan Hadrah tersebut. Ini turut merupakan penglibatan terakhir beliau di persada seni sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada November 2015.

Mengisahkan tentang Che Pa dan kumpulan tarian hadrahnya, ‘Kumpulan Hadrah Seri Pauh’, cukup popular pada suatu ketika dahulu. Mereka disanjung tinggi dan setiap persembahan begitu dinantikan-nantikan oleh penonton. Tarian Hadrah itu jugalah yang telah membawa mereka menjelajah ke negara asing seperti Perancis, Britain dan Amerika Syarikat. Namun kini, zaman telah berubah dan ramai yang tidak mengerti mengapa perlu dihidupkan semula tarian atau seni yang menampilkan lelaki berpakaian, berhias, bersolek serta bersanggul seperti wanita. Sehingga ada masanya persembahan yang mereka sampaikan dikecam dan diserbu oleh pihak berkuasa semata-mata kerana persepsi haram berpakaian cross-dressing.

Review Telefilem Che Pa
Photo: Rojakdaily

Walaupun sering diejek dan dimalukan kerana pekerjaannya, Che Pa amat mengagungkan tarian ini, yang pernah menjadi punca rezeki beliau dalam membesarkan anak perempuannya. Bibah sebelum ini bangga dengan bapanya dan pujian demi pujian dikalungkan kepada bapa beliau dan nama itu kerap kali di bibirnya di kala bersama kawan-kawan. Sehinggalah beliau berkenalan dengan seorang lelaki dan cinta memusnahkan kasih seorang anak kepada bapa. Pujian-pujian yang dahulu mekar kini bertukar menjadi cacian dengan pandangan jijik serba malu dilemparkan kepada bapanya. Sebelum ini, isteri yang disanjungi meninggalkan beliau, kini satu-satunya anak yang menjadi tempat beliau menumpang kasih itu jugalah memalingkan muka darinya.

Review Telefilem Che Pa
Photo: Rojakdaily

Che Pa kini di persimpangan. Beliau menerima satu tawaran untuk membuat persembahan di ‘Minggu Kesenian Rakyat’ di sebuah universiti. Persembahan berskala besar ini merupakan peluang keemasan beliau untuk mengangkat kembali kegemilangan Hadrah. Beliau cuba memujuk bekas ahli kumpulannya untuk menyertainya tetapi mereka enggan. Sama seperti Bibah, mereka malu dengan dunia Hadrah yang pernah melonjakkan nama mereka. Ada di antara ahli kumpulan yang merasakan menyertai Hadrah pada satu ketika dahulu adalah kesilapan terbesar yang pernah mereka lakukan. Kini mereka menyesal. Kini mereka bertaubat. Tetapi kenapa perlu menghukum Che Pa? Dosakah Che Pa?

Elemen Positif

Semangat Setiakawan

Di dalam Che Pa, anda boleh melihat bagaimana semangat setiakawan yang kuat diantara Cik Man dan Mustaffa (Che Pa). Walaupun mereka tahu aktiviti seni mereka ini bakal mendapat cemuhan orang ramai, namun atas dasar mempertahankan seni budaya mereka sanggup memikul beban yang sudah tidak mahu dipikul oleh tiga orang kawan mereka yang lain. Cik Man sanggup meneruskan legasi tarian hadrah yang asal bersama Che Pa.

Mencintai Seni dan warisan

Setiap negeri di Malaysia mempunyai legasi seni dan warisan yang tersendiri. Diperturunkan dari generasi ke generasi. Kelantan mendokong budaya Dikir Barat mereka, Johor meneruskan Kuda Kepang tanpa ada tanda-tanda kepupusan dan di dalam telefilem ini, Che Pa digambar sebagai seorang yang terlalu mencintai tarian hadrah. Baginya hadrah adalah hidup, hadrah adalah jiwanya. Daripada muda sehinggalah ke usia tua, Che Pa tetap meneruskan tarian hadrah walaupun sudah ada pengganti generasi baru yang telah menggantikan lelaki berpakaian wanita ke wanita tulen. Inilah pengekalan budaya yang telah dibuat oleh penggiat hadrah bagi memastikan seni sejak 1910 ini berkekalan dan dikenali pelapor baru.

Kasih anak pada seorang ayah

Bibah lakonan Putri Hanan Ahmad Shukri seorang pendatang baru telah membawakan tugas dengan agak baik. Beliau memilih untuk tinggal bersama ayahnya (Che Pa) setelah ibunya (Che Puteh, lakonan Amyza Aznan) memilih untuk berpisah. Seorang anak amat kenal akan watak ayahnya kerana dari kecil Bibah dijaga oleh Che Pa. Tentunya segala tohmahan dan caci maki kepada ayahnya akan dipertahankan oleh Bibah sehinggalah beliau dihina oleh seorang kawan lelaki yang menyatakan Che Pa adalah seorang Pondan. Di sini kita dibiarkan berfikir untuk tidak terus menghukum seseorang berdasarkan paras rupa lebih-lebih lagi insan yang baru kita kenali. Pengajaran untuk memahami orang lain sebelum kita membuat andaian.

 Review Telefilem Che Pa
Photo: Rojakdaily

 

Elemen Negatif

Lelaki menyerupai wanita

Che Pa membawa persoalan mengenai mempertahankan adat dan warisan atau tunduk kepada tuntutan agama. Sebagai seorang muslim yang waras akalnya, semestilah tidak akan melanggari batas-batas agama yang telah dipelajari sejak berzaman. Tidak ada manusia yang inginkan hidup di dalam ketidaktentuan, antara memilih lelaki atau perempuan. Namun, bukan itu yang dibangkitkan Che Pa. Beliau bukanlah pondan yang menyundal di malam hari. Beliau hanya seorang pembawa watak puteri di dalam tarian Hadrah. Menari itu pekerjaannya. Membesarkan Bibah dengan rezeki hadrah. Namun, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Kita doakan golongan ini diberi kesedaran dan hidayah, Insha Allah.

Kesimpulan

Sekali lagi Sabri Yunus berjaya mempersembahkan sebuah karya bermutu untuk dipertontonkan kepada rakyat Malaysia. Naskah Che Pa tidaklah terlalu berat untuk dihadam. Jalan cerita mudah difahami dan bahasa loghat utara yang digunakan boleh difahami oleh orang dari luar. Mungkin ada dialog yang dipertuturkan terlalu laju, boleh minta rakan utara anda menterjemahkannya.

 Review Telefilem Che Pa
Photo: Rojakdaily

Tarian hadrah ini secara langsung telah membentuk budaya dan seni warisan bagi masyarakat utara amnya dan negeri Perlis khususnya. Kenangan menonton hadrah secara langsung oleh generasi dahulu boleh ditimbulkan semula setelah menonton telefilem ini. Sabri Yunus perlu diberi pujian kerana usahanya untuk mendokumentasikan sejarah tarian hadrah ini supaya dapat dilihat dan dipelihara generasi akan datang.

Saya juga menyukai idea Sabri Yunus dengan tidak terlalu mengangkat golongan lelaki lembut. Beliau mempersembahkan karya ini dengan seadanya, tidak lebih dan tidak kurang.

Jadi, apakah yang akan terjadi kepada Che Pa pada akhirnya ? Adakah Che Pa akan kembali menjadi puteri hadrah atau terus melupakan seni ini selama-lamanya ?

Jika anda ada pandangan yang berlainan, sila komen di ruangan di bawah. Terima kasih.

 

Baca juga : I’m Not A Terrorist gabungan pelakon Bollywood dan Malaysia

 

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here