Sejarah Sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang tidak pernah anda tahu

0
749
views
pi mai pi mai tang tu
Photo: Hangpa Tau Dak

Jalan cerita di dalam setiap episod sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu adalah jalan cerita yang hampir dengan cerita kehidupan rakyat seharian. Kebanyakan penonton boleh mengaitkan dengan kisah-kisah lucu dibawakan oleh watak-watak sitkom tersebut.

Memegang rekod sebagai satu-satunya sitkom yang paling lama bertahan di kaca televisyen, Pi Mai Pi Mai Tang Tu bersiaran selama 15 tahun dari 1984 hingga 1999, telah membawa kisah-kisah golongan rakyat dari kelas bawahan sebagai latar penceritaannya. Para pelakonnya memaparkan kehidupan masyarakat yang begitu realistik melalui lakonan yang selamba dan mencuit hati.

pi mai pi mai tang tu
Photo: Youtube

Sememangnya, daya penarik dan kualiti karya yang dihasilkan oleh krew-krew produksi Pi Mai Pi Mai Tang Tu jauh lebih baik berbanding sitkom-sitkom lain yang seangkatan dengannya. Kekuatan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada zaman awalnya banyak terletak pada sindiran tajamnya terhadap masyarakat. Ia telah menjadikannya sangat outstanding.

Kesan Mendalam

Pengaruh sitkom ini telah membawa kepada kemunculan sitkom-sitkom yang menggunakan latar tempat restoran atau warung sebagai port untuk buat lawak seperti Santan Berlada, Cecupak, Salam Pantai Timur, Kopitiam, Kopi O Kaw dan lain-lain. Sitkom-sitkom ini cuba meniru formula kejayaan Pi Mai Pi Mai Tang Tu, tetapi menemui kegagalan lantaran ia seolah-olah sudah menjadi terlalu cliche.

Generasi baya-baya aku yang lahir pada era 80’an memang kenal sangat dengan watak-watak Pi Mai Pi Tang Tu. Lawak-lawak Pi Mai Pi Mai Tang Tu, walaupun penuh sindiran untuk penonton dewasa, masih lagi boleh diterima oleh golongan kanak-kanak seperti aku. Rancangan sitkom ini memang senantiasa dinanti-nantikan oleh kami sekeluarga pada waktu tu.

pi mai pi mai tang tu
Photo: Youtube

Mendengar muzik opening theme nya sahaja sudah mampu menghambat aku untuk duduk di hadapan kaca TV. Itu belum campur perasaan geli hati melihat label ‘AYOR BUAH’ yang tidak pernah bertukar sehingga episod terakhirnya.

Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada asalnya adalah kesinambungan daripada kegiatan teater di Malaysia yang begitu aktif sejak pertengahan dekad 70’an dan 80’an. Ia muncul sewaktu era kemerosotan aktiviti teater semenjak pihak berkuasa mula mengawal kegiatan teater sebagaimana yang berlaku pada Panggung Negara di era 80’an.

Dari Teater ke Kaca Televisyen

Pada tahun 1983, Hatta Azad Khan telah menulis skrip teater yang bertajuk N(T) untuk dipentaskan di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur. Namun, tajuknya telah ditukarkan kepada Syy… kerana skrip N(T) yang dibunyikan dengan sebutan ”anti” itu dikhuatiri akan menimbulkan kontroversi.

pi mai pi mai tang tu
Photo: Utusan

Pementasan teater tersebut telah dijayakan oleh Grup Teater Kreatif yang diketuai oleh Meor Hashim Manap. Barisan pelakon yang membintangi teater tersebut terdiri daripada;

Zami Ismail sebagai Pak Uda,
Mohamad Abdullah Omar sebagai Pak Busu,
Wan Maimunah sebagai Mak Usu,
Ahmad Busu sebagai Mat Deris,
Abdul Rahim bin Muda (Imuda) sebagai Budin,
Din Morgan sebagai Pegawai 1,
Bokhari sebagai Pegawai 2,
Raja sebagai pekedai

Pementasan teater Syy… telah berjaya menarik minat penerbit Cinematic Sdn. Bhd, Othman Hafsham untuk menerbitkannya dalam bentuk rancangan bersiri di televisyen. Tidak seperti teater Syy.. yang menggunakan latar tempat perkampungan setinggan, Kampung Seri Wangi yang ditayangkan di RTM digerakkan oleh watak-watak teater tersebut yang sudah berpindah ke kawasan rumah panjang bandaraya. Nama Pi Mai Pi Mai Tang Tu mula digunapakai apabila tayangan sitkom ini berpindah ke TV3.

pi mai pi mai tang tu
Photo: Hangpa Tau Dak

Perpindahan ke saluran televisyen juga membawa kepada perubahan latar tempat penceritaan sitkom ini apabila penduduk-penduduknya telah berpindah ke Flat Seri Wangi.

Cerminan Kehidupan Rakyat

Isu-isu yang diketengahkan juga turut berkembang mengikut arus kemodenan. Walau bagaimanapun, isu-isu yang diketengahkan masih lagi berkisar di dalam masyarakat dari golongan berpendapatan rendah di bandar yang sering berusaha untuk mengubah nasib yang lebih baik.

Watak-watak di dalam siri sitkom ini ditunjangi oleh para pelakon yang berpengalaman baik di dalam teater mahupun televisyen. Watak Pak Uda, seorang pengawal keselamatan pada awal siri ini dibintangi oleh Zami Ismail. Berkarakter panas baran untuk watak tersebut, Pak Uda sering dipermain-mainkan oleh Budin dan Mat Deris.

Photo: Youtube

Mohamad Abdullah Omar yang memegang watak Pak Busu pula, berperanan sebagai seorang Ketua Kampung yang tidak bertauliah. Namun disegani oleh masyarakat. Beliau sering mententeramkan suasana apabila suasana menjadi hangat apabila watak-watak lain memperkatakan sesuatu isu.

Mat Deris yang didukung oleh Ahmad Busu, merupakan pekerja am di Majlis Kotaraya. Beliau mewakili watak pemuda yang tekun mengubah nasib diri di Kotaraya. Selain itu, watak ini rajin mengikuti kelas malam untuk mempelajari Bahasa Inggeris.

Imuda yang memegang watak Budin (nama penuh watak Syed Al-Budin) adalah seorang penganggur yang banyak menghabiskan masa dengan melepak di warung. Ada masanya, Budin menyara hidup dengan mengumpul barangan kitar semula seperti botol-botol kosong dan tin-tin minuman kosong.

Setelah beberapa tahun, pengarah dan penerbit siri ini telah menukar dan menambah watak bersesuaian dengan jalan cerita. Selain itu, beberapa pelakon tambahan yang terdiri daripada penyanyi, selebriti dan juga ahli sukan turut dimuatkan pada episod-episod tertentu.

Faktor utama kejayaan teater/sitkom ini terletak pada kekuatan skripnya itu sendiri selain daripada kekuatan kerjasama yang diberikan oleh seluruh krew produksi baik dari pelakon, pengarah sampailah ke bahagian teknikalnya. Skrip yang dihasilkan oleh penulisnya, Dr Hatta Azad Khan secara kreatif berjaya membongkar kisah segelintir masyarakat golongan rendah yang tinggal di perkampungan setinggan.

Karya yang hebat tidak memerlukan latar yang gah sebagaimana yang sering ditonjolkan oleh drama-drama Melayu korporat sembang lebat juta-juta di dalam slot Cerekarama. Populariti karya juga boleh diraihkan apabila karya tersebut dirasakan amat dekat dengan jiwa rakyat kebanyakan.

Salah satu ciri-ciri karyawan agung adalah karyawan yang berjiwa rakyat dan tidak bertuhankan duit. – Anak Aska Pencen

 

Baca juga : Review Telefilem Che Pa – Karya Terbaru Sabri Yunus

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here