Siri Cerita Teladan : Perkelahian Seorang Lelaki Dengan Iblis

0
349
views
kisah-lelaki-dan-iblis
kisah-lelaki-dan-iblis

Pada zaman dahulu ada sepasang isteri yang hidup di sebuah kampung. Mereka hidup di dalam aman dan tenteram walaupun tidak dikurniakan seorang zuriatpun. Walaupun hidup mereka miskin tetapi mereka merupakan pasangan yang amat taatkan perintah Allah.

Mereka sangat tekun melakukan ibadat kepada Allah disamping meninggalkan segala perkara yang dilarang.
Pada suatu hari lelaki itu keluar dari rumahnya dengan tujuan untuk mencari pekerjaan. Ketika dalam perjalanan ke sebuah pekan berdekatan, kelihatan olehnya sekumpulan manusia yang sedang mengerumuni sebatang pokok yang besar. Mereka kelihatan menyembah pokok besar tersebut seolah – olah pokok itu tuhan yang akan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka.

“Ini sesuatu yang salah, ini perbuatan syirik. Aku harus melakukan sesuatu untuk menyedarkan mereka.” Kata lelaki itu dengan penuh rasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan akidah penduduk di situ.
Dia lantas pulang semula ke rumahnya dengan tujuan untuk mengambil sebilah kapak. Dia mahu menebang sahaja pokok itu supaya perbuatan syirik yang berlaku dapat diberhentikan. Dengan itu sudah tentu mereka akan balik menyembah Allah sepertimana biasa.

Setelah mengambil kapak, lelaki itu menuju semula ke pokok yang menjadi sembahan itu. Di pertengahan jalan dia telah bertemu dengan seorang lelaki yang berbadan besar. Lelaki itu sebenarnya ialah iblis yang menyerupai dirinya sebagai manusia. Lelaki iblis itu telah menghalang perjalananya untuk menebang pokok besar tersebut.

Dia bertanya: “Hai saudara, ke mana kamu hendak pergi dengan kapak kamu itu.” Lelaki itu lantas menjawab: “Aku mahu ke pokok besar tempat orang ramai berkumpul menyembahnya. Aku mahu menghapuskan kesyirikan di situ dengan menebang pokok tersebut.”

“ Mengapa pula kamu sibuk – sibuk untuk menghalang mereka. Kamu pun bukannya ada apa –apa hubungan dengan mereka. Jika mereka syirikpun kamu tidak rugi apa – apa. Lebih baik kau pulang sahaja.”

“ Tidak, aku tetap akan menebang pokok tersebut. Kesyikiran ini mesti dihalang,” jawab lelaki itu tegas.

“ Lebih baik engkau pulang sahaja, jangan teruskan pekerjaanmu itu!” bentak iblis kemarahan.

“ Ah tidak, aku tetap akan menebang pokok itu!”

Masing – masing tidak mahu mengalah dengan pendirian mereka, lalu terjadilah pergaduhan di antara lelaki tadi dengan iblis tersebut. Walaupun badannya lebih kecil daripada iblis tersebut, lelaki itu akhirnya memenangi pergaduhan itu. Akhirnya iblis menyerah kalah sambil meminta ampun. Walaupun dari segi fizikal dia sudah kalah tetapi di dalam hatinya dia tetap cuba menghalang lelaki tersebut dari melakukan pekerjaannya.

Sambil menahan kesakitan iblis itu berkata: “ Tuan, maafkanlah kekasaran saya tadi. Saya tak akan menghalang tuan lagi. Namun begitu jika hari ini tuan pulang dahulu tanpa menebang pokok tersebut saya berjanji, apabila tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh setiap hari, di bawah tikar sembahyang tuan aku sediakan wang emas sebanyak empat dinar. Pulanglah dahulu, aku janji.”

Mendengar janji iblis dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah semangat lelaki tadi untuk menebang pokok tersebut. Dia lalu pulang ke rumah dan menceritakan peristiwa tersebut kepada isterinya. Mereka berdua terbayang – bayang akan wang emas yang akan diperolehi esok. Dengan wang itu sudah tentulah kehidupan mereka yang miskin itu berubah kelak. Jika setiap hari mereka memperolehi empat keping wang emas sudah tentu dalam masa sebulan sahaja dia akan berubah menjadi seorang yang kaya.

Dia tidak menyedari bahawa semuanya itu adalah helah daripada iblis untuk mematahkan niatnya menghalang kesyirikan dan kemungkaran yang berlaku di dalam masyarakatnya.

Pada keesokan harinya, ketika lelaki tersebut selesai mengerjakan sembahyang Subuh, diselak tikar sembahyangnya. Betul sepertimana yang dijanjikan dimana terdapat empat keping wang emas. Dia lalu memberitahu isterinya dan mereka berdua bersorak keriangan.

Begitulah pada dua hari seterusnya wang emas itu tetap kelihatan di bawah tikar sembahyangnya. Lelaki itu dan isterinya menjadi semakin boros membelanjakan semua wang emas itu tanpa berfikir panjang. Mereka menyangka akan memperolehi wang emas itu pada setiap hari. Tetapi pada hari keempat mereka mulai kecewa apabila tikar yang diselaknya tiada lagi wang emas sebagaimana selalu. Isterinya mulai bising kerana berasa mereka telah ditipu.

Dengan suara kecewa lelaki itu berkata bagi menyedapkan hatinya: “Jangan engkau khuatir, mungkin esok kita akan mendapat lapan keping wang emas sekaligus.”

Namun begitu mereka kecewa kerana wang emas yang diimpikan mereka tidak kelihatan. Ini menyebabkan isterinya marah sambil berteriak: “Penipu, ambil kapakmu dan pergilah tebang pokok itu.”
“Ya, berani dia menipu aku. Akan aku tebang pokok itu hari ini juga. Akan aku hapuskan pokok itu hingga tiada lagi apa – apapun. Baru puas hati aku.” Sahut lelaki itu.

Lelaki itu lalu mengambil kapaknya lalu diasah dengan setajam – tajamnya. Selepas itu dengan penuh semangat dia menuju ke tempat pokok besar itu bagi meneruskan niatnya untuk menebang pokok tersebut. Di pertengahan jalan lelaki iblis itu sekali lagi menghalang perjalanannya. Iblis itu lalu berkata: “ Mahu ke mana kamu dengan kapak itu?”

“Aku mahu menebang pokok itu.” Jawab lelaki itu dengan penuh keberanian.
“Lebih baik engkau lupakan niatmu itu.” Perintah iblis tersebut.
“Ah.. aku tidak akan termakan lagi dengan kata – katamu. Engkau penipu.” Marah lelaki tersebut kepada iblis.

Setelah kedua – duanya saling bertengkar yang tidak berkesudahan, maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat antara mereka. Namun begitu keputusan sebaliknya telah berlaku dimana jika dahulu lelaki itu yang menang tetapi kini pergaduhan itu telah dimenangi oleh iblis tersebut.

Dalam kesakitan akibat kekalahan itu, lelaki itu tadi bertanya dengan penuh kehairanan: “ Kenapa dahulu dengan mudah aku dapat menewaskan kamu. Tapi mengapa pula sekarang aku kalah pula kepadamu..?
Dengan ketawa penuh sindiran iblis itu menjawab: “Hahaha, sudah tentu sahaja dahulu engkau menang dan aku tidak mampu menewaskan kamu kerana waktu itu engkau ingin menebang pokok itu dengan niat kerana Allah. Tetapi sekarang engkau ingin menebang pokok itu hanya kerana wang emas di bawah tikar sembahyangmu.

Sudah tentulah kali ini Allah tidak lagi membantumu. Lebih baik engkau pulang sahaja sebelum aku mengapa – apakan engkau.”

Mendengar penjelasan iblis itu lelaki tadi terdiam kebingungan. Baru sekarang dia tersedar akan kesalahannya dan niatnya yang mudah berubah hanya kerana sedikit harta.
Dengan keadaan lemah dan terhoyong – hayang ia pulang ke rumahnya. Niatnya untuk menebang pohon itu juga ditangguhkan terlebih dahulu. Dia sedar bahawa perjuangannya sekarang adalah tanpa keiklasan kerana Allah. Niatnya adalah kerana benda, mengatasi keutamaan kerana Allah dan agama. Dia akan meneruskan niatnya untuk menebang pokok tersebut apabila hatinya nanti bulat dan tekad kerana Allah semata – mata.

sumber : klinikmotivasi.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here