Teh ais gajah kini popular di Pokok Sena

2
207
views
teh ais gajah

Pokok Sena: Apabila mendengar nama ‘teh ais gajah’ sudah cukup membuatkan orang ramai berkerut dahi memikirkan apa dan bagaimana minuman itu dihasilkan kerana ia jarang didengari.

Namun, tidak di sebuah gerai tepi Jalan Kuala Nerang berhampiran Taman Desa Ilmu, Batu 13, di sini, apabila minuman itu menjadi sajian ‘trademark’ di kawasan itu.

Jika sebelum ini gerai berkenaan tular di media sosial dengan hidangan cucur udang yang diberi nama Cucuq Udang 2 Beradik, kini ia tular semula dengan penghasilan minuman teh ais gajah sehingga menarik ramai orang tanpa mengira latar belakang kaum dan agama berkunjung ke gerai berkenaan.

Pemiliknya Nur Ayu Md Yusof, 25, berkata, minuman teh ais gajah ini sudah mula diusahakan sejak lima tahun lalu apabila mereka menggunakan plastik bungkus besar bersaiz 10×12 sentimeter untuk membungkus teh ais yang diminta oleh pelanggan mereka.

teh ais gajah

“Sebenarnya, penghasilan teh ais ini biasa saja sama seperti teh ais yang dijual di gerai lain tetapi keistimewaannya adalah apabila ia disediakan dalam satu bungkusan yang besar seberat hampir tiga kilogram menyebabkan ia tular di media sosial.

“Dengan kuantiti teh ais sebanyak ini, ia dijual dengan harga RM7 sebungkus serta mampu dikongsi seramai lapan orang.

“Malah dengan isipadunya yang besar dan banyak itu menyebabkan ia digelar teh ais gajah,” katanya.

Menurutnya, penyediaan teh ais gajah itu dilakukan dengan adik bongsunya, Nur Aida, 20, yang turut dibantu seorang lagi kakak mereka Siti Hajar, 35.

“Penghasilan minuman dengan kuantiti sebanyak itu bukanlah terhad hanya kepada teh ais gajah saja kerana kami juga turut menyediakan minuman lain sama seperti teh ais gajah dengan harga yang berbeza.

“Minuman lain adalah seperti teh O ais gajah dijual dengan harga RM5, sirap ais pula dijual dengan harga RM5, air jagung pula dijual dengan harga RM7 dan minuman lain seperti milo ais, horlick dan neslo ais dijual dengan harga antara RM15 hingga RM16,” katanya.

Nur Ayu berkata, nama gajah diletakkan kepada setiap minuman berkenaan adalah kerana saiznya yang besar serta kedua-dua gadis itu juga menyukai haiwan berkenaan.

“Purata dalam sehari, jualan teh ais gajah ini mampu terjual antara 50 hingga 80 bungkus.

Ia dimulakan dengan menghasilkan teh berkenaan dalam satu jag air yang mampu mengisi empat bungkus besar teh ais itu.

“Pelanggan yang datang terdiri daripada pelbagai peringkat usia tanpa mengira kaum dan agama seperti pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Sains Pokok Sena dan beberapa sekolah lain serta kakitangan kerajaan dan swasta di sekitar kawasan Pokok Sena dan Kuala Nerang.

“Berdasarkan, maklum balas yang diberikan oleh mereka, teh ais gajah ini agak unik apabila dihasilkan dan harganya juga masih berpatutan,” katanya.

Sementara itu, adiknya, Nur Aida berkata, meskipun kos harga barang mentah semakin naik, dia dan kakaknya tidak pernah mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang termasuk juga harga teh ais gajah.

“Harga yang ditetapkan itu adalah berpatutan dengan keadaan ekonomi serta harga barang semasa dan walaupun harga barang semakin hari semakin naik kami masih kekal dengan harga berkenaan.

“Malah, ada pelanggan yang kata harga yang kami letakkan itu sebenarnya masih murah dan berpatutan jadi tiada sebab untuk kami sewenang-wenangnya menaikkan harga barang lagipun orang di sini kebanyakannya adalah pelanggan tetap kami,” katanya.

Nur Ayu dan Nur Aida yang tinggal di Kampung Lancuk, yang terletak tidak jauh dari gerai berkenaan sering digelar pasangan kembar apabila kerap memakai pakaian sama setiap kali berniaga di gerai milik ibu mereka, Nadhliah Ibrahim, 60.- Hmetro\

 

Baca juga : Amlon char koey teow sos kicap istimewa

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here