Tiada Riak Wajah Sedih Pada Suspek Remaja Bakar Pusat Tahfiz

0
68
views

TUJUH suspek remaja yang membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sehingga 21 pelajar dan dua guru terkorban dikatakan tidak menunjukkan riak wajah sedih ketika disoal oleh polis dan diarah melakonkan semula perbuatan mereka selepas dibawa ke pusat tahfiz itu hari ini.

Menurut sumber yang melihat jelas situasi berkenaan, tujuh suspek terbabit seperti tiada perasaan.

Katanya, semua suspek memakai penutup mulut dan diiringi polis memasuki beberapa bahagian bangunan pusat tahfiz serta persekitaran luar bangunan.

“Kira-kira satu jam setengah, mereka selesai dibawa ke kawasan-kawasan tertentu untuk melakonkan semula pergerakan mereka ketika mahu membakar pusat tahfiz itu. Kemudian, mereka dikumpulkan dan duduk di satu tempat sebelum disoal polis.

“Ketika itu saya dapat lihat wajah mereka, nampak seperti tiada apa yang berlaku dan tidak menunjukkan reaksi insaf walaupun sudah melakukan satu jenayah terancang yang menggemparkan negara,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, kawalan polis di tempat kejadian pada hari ini adalah yang paling ketat.

Terdahulu, tujuh suspek yang membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung dibawa ke lokasi kejadian dipercayai bagi melakonkan semula bagaimana mereka membakar pusat tahfiz itu dari 2.40 petang hingga 4.45 petang, hari ini.

Mereka dibawa masuk melalui pintu belakang sebelum seorang daripada mereka dibawa ke kawasan taman tasik yang terletak di belakang pusat tahfiz.

Kawasan sekitar pusat tahfiz itu dikawal ketat oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sehingga kaunter sumbangan di hadapan pusat tahfiz berkenaan terpaksa ditutup buat sementara. – HMetro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here